Himpunan Turun Anwar: Penjawat awam Selangor diingat jaga integriti

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan penjawat awam di negeri ini tidak melampaui batas dengan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata, penyertaan dalam sebarang gerakan atau perhimpunan yang boleh menggugat integriti serta mencemarkan imej mereka sebagai kakitangan kerajaan tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip profesionalisme perkhidmatan awam.

Menurutnya, walaupun tiada arahan atau pekeliling khusus dikeluarkan setakat ini, beliau yakin penjawat awam di Selangor cukup faham mengenai peraturan dan garis panduan sedia ada.

"Penjawat awam di Selangor harus patuh dengan arahan tertentu daripada pihak pentadbir termasuk dari segi masa, keterlibatan dalam politik dan kenyataan-kenyataan yang menjelekkan.

"Dalam piagam perkhidmatan awam sudah jelas dinyatakan, siapa pun pentadbir atau kerajaan mereka perlu kekal profesional,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks PKNS di sini pada Jumaat.

Amirudin menambah, faktor cuaca tidak menentu seperti jerebu mungkin turut menyukarkan penyertaan dalam perhimpunan tersebut.

Jelas beliau, perbezaan antara menyokong kerajaan dan menyokong parti politik harus difahami kerana setiap penjawat awam ada limitasi ditetapkan.

"Sama ada menyokong kerajaan atau pembangkang, ada garisnya. Jangan sampai melanggar batas,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana penjawat awam di negeri ini yang terlibat dalam perhimpunan itu, Amirudin berkata, perkara itu tertakluk kepada pertimbangan Ketua Jabatan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Itu bukan di bawah kelolaan saya, tiada arahan spesifik, tetapi saya percaya Ketua Jabatan tahu apa yang perlu dilakukan," tambah beliau.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!