Angkasa utamakan kolaborasi koperasi serantau

SHAH ALAM - Malaysia menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menekankan kepentingan kolaborasi menyeluruh antara koperasi serantau untuk mempertingkatkan akses pasaran antara koperasi dengan koperasi (C-2-C).
Pengurus Besar Bahagian Korporat Angkasa, Halim Ibrahim berkata, ia termasuk usaha memasarkan produk dan perkhidmatan koperasi dalam kalangan negara rantau Asia Pasifik.
Menurutnya, cadangan tersebut disuarakan oleh Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia dan Pasifik (ICA-AP Regional Board Meeting) serta bengkel antarabangsa.
"Koperasi rantau Asia Pasifik perlu memainkan peranan signifikan untuk memperhebat kolaborasi jangka panjang, kemudahan akses pasaran dan insentif yang dapat merangsang pengeluaran, pemasaran produk serta perkhidmatan dalam pelbagai sektor perniagaan.
"Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) turut menyatakan keyakinan beliau bahawa komitmen Angkasa dalam memperluas pasaran produk koperasi tempatan ke peringkat global akan terus diperkukuh.
"ICA-AP kini mencatatkan 120 anggota daripada 29 buah negara, memperlihatkan pertumbuhan kukuh gerakan koperasi serantau," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, mesyuarat Lembaga ICA-AP dihadiri wakil pemimpin koperasi dari rantau Asia-Pasifik termasuk China, Filipina, India, Iran, Jepun, Korea, Malaysia, Nepal dan Sri Lanka.
Lembaga ICA-AP turut mengadakan Mesyuarat Pelan Strategik ICA-AP 2026 – 2030.

Tambah Halim, menerusi Mesyuarat Pelan Strategik Abdul Fattah menekankan keperluan merangka hala tuju koperasi Asia Pasifik yang lebih mampan dan inklusif dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Keperluan untuk merangka hala tuju koperasi Asia Pasifik bagi tempoh lima tahun akan datang perlu dimuktamadkan.
"Tumpuan perlu diberi bagi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap gerakan koperasi sebagai gaya hidup serta pengukuhan perniagaan koperasi di peringkat serantau dan global”, jelasnya.
Sementara itu, delegasi Angkasa yang diketuai oleh Abdul Fattah turut menyertai sesi pembukaan bengkel antarabangsa “Workshop on The Sustainable Development and Capacity Building of Cooperatives” anjuran ICA-AP dengan kerjasama koperasi All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC) .
Jelasnya, ia diadakan bersekali dengan penganjuran Mesyuarat Lembaga ICA-AP sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.
Beliau memberitahu, bengkel itu menghimpunkan 70 pemimpin koperasi dari negara rantau Asia Pasifik bagi membincangkan cabaran semasa dan peluang baharu dalam memperkasa pembangunan mampan gerakan koperasi.
"Angkasa diberi penghormatan untuk menyampaikan pembentangan dalam Sesi 2: Inovasi Sebagai Pemacu Pembangunan Mampan Koperasi.
"Dalam sesi ini, Angkasa membentangkan peranan inovasi sebagai pemacu utama dalam mentransformasi koperasi ke arah kelestarian, daya tahan dan daya saing.
Pembentangan menekankan keutamaan pembangunan digitalisasi koperasi yang dibangunkan oleh Angkasa menerusi inisiatif e-Dagang, fintech dan automasi perniagaan antaranya melalui sistem digital seperti Jimatshop, e-SPGA, e-Undi, SPeKAR dan e-wallet MyISCO MCash," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

