Raja Teh Maimunah dilantik CEO Kumpulan Bank Islam baharu

Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz
Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melantik Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 April 2026.

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, pelantikan tersebut adalah hasil proses pencarian menyeluruh oleh Lembaga Pengarah yang menilai calon berkelayakan tinggi sebelum memilih beliau bagi menerajui fasa pertumbuhan seterusnya.

“Selain rekod pencapaian dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi, Raja Teh Maimunah secara konsisten telah menunjukkan keserasian dengan nilai teras termasuk pematuhan prinsip-prinsip syariah yang menjadi asas kepada tadbir urus Bank Islam.

“Beliau menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang telah bersara awal pada Disember 2025 setelah lebih sedekad berjasa di Bank Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, di bawah kepimpinan Mohd Muazzam, Bank Islam mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis kewangan Islam di Malaysia di samping mengemudi landskap kewangan yang semakin kompleks dan digital.

Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Teh Maimunah merupakan Pengasas dan CEO AEON Bank (M) Bhd serta berjaya menerajui pelancaran bank digital Islam pertama di Malaysia.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut menjadi perancang utama pembangunan infrastruktur natif awan teras bank berkenaan sekali gus meletakkan penanda aras baharu bagi inovasi digital patuh syariah.

Kerjaya beliau yang menjangkau lebih 30 tahun turut merangkumi pelbagai jawatan kanan di institusi kewangan terkemuka termasuk sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia dan berperanan merintis pelancaran Bursa Suq Al-Sila’ iaitu platform dagangan komoditi patuh syariah pertama dunia.

Artikel Berkaitan:

Sebagai mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan Raja Teh Maimunah terhadap industri, beliau telah diberi penghormatan sebagai Personaliti Kewangan Islam Terbaik pada 2016 dan Anugerah Ahli Perbankan Wanita Cemerlang ASEAN pada 2025.

Menurut Ismail, pelantikan Raja Teh Maimunah menandakan detik penting bagi Bank Islam dalam mempercepatkan usaha transformasi ke arah menjadi peneraju institusi kewangan Islam.

“Kami mengalu-alukan kehadiran beliau sebagai CEO Kumpulan yang baharu. Kepimpinannya dalam industri kewangan dan inovasi digital adalah sejajar dengan aspirasi strategik kami.

“Sebagai peneraju perbankan Islam Malaysia, Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan beliau, kumpulan akan terus memperkukuh kedudukan pasaran dan memacu inovasi,” jelasnya.

Tambahnya, Bank Islam juga akan terus menyampaikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh, pada masa sama menjunjung standard tertinggi Syariah dan integriti.

“Raja Teh Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) serta Doktor Kehormat Undang-Undang dari University of East London dan merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah serta Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF).

“Beliau akan memacu fasa penerapan dan transformasi digital kumpulan seterusnya dengan menggabungkan kepakaran digital serta pengalaman merintis industri kewangan Islam,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!