PNB belum buat keputusan mengenai tawaran Sunway ambil alih IJM

PNB mengesahkan belum membuat keputusan berhubung Tawaran Am Sukarela oleh Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd dan akan menilai tawaran itu berdasarkan pertimbangan komersial serta pulangan pelaburan jangka panjang - Gambar hiasan
PNB mengesahkan belum membuat keputusan berhubung Tawaran Am Sukarela oleh Sunway Bhd ke atas IJM Corporation Bhd dan akan menilai tawaran itu berdasarkan pertimbangan komersial serta pulangan pelaburan jangka panjang - Gambar hiasan
A
A
A

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) mengesahkan pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan Tawaran Am Sukarela (VGO) oleh Sunway Bhd untuk membeli kepentingan PNB dalam IJM Corporation Bhd.

PNB menjelaskan pihaknya akan menilai tawaran itu berdasarkan pertimbangan komersial, termasuk antara lain pulangan pelaburan berdasarkan nilai intrinsik dan nilai masa hadapan IJM, pertimbangan tunai, serta anggaran nilai masa depan bagi pertukaran saham yang ditawarkan.

"Dokumen tawaran baru sahaja dikeluarkan oleh Sunway kepada semua pemegang saham IJM manakala penasihat bebas yang dilantik oleh lembaga pengarah IJM dijangka mengeluarkan nasihat mereka menjelang 16 Mac, 2026.

"Tawaran tersebut dibuka untuk penerimaan sehingga 6 April, 2026 atau pada tarikh lain yang dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib,” menurut PNB dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

PNB merujuk kepada pertanyaan susulan yang diterima berikutan penjelasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen baru-baru ini berkenaan dengan VGO oleh Sunway terhadap IJM, serta kedudukan PNB sebagai pemegang saham minoriti dalam perkara tersebut.

"PNB juga ingin menegaskan bahawa pada masa ini PNB memegang kepentingan kurang daripada 13.5 peratus dalam IJM.

"Oleh itu PNB tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap keputusan akhir tawaran pengambilalihan yang dibuat kepada semua pemegang saham IJM, tawaran tersebut hanya akan berjaya sekiranya lebih daripada 50 peratus pemegang saham IJM menerima tawaran berkenaan,” menurut PNB.

PNB menegaskan cadangan VGO itu akan melalui penilaian dalaman yang menyeluruh sebelum pertimbangan dan keputusan akhir oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah PNB.

"Ini selaras dengan rangka kerja pelaburan PNB yang ketat, dipandu oleh disiplin pelaburan dan fidusiari, dengan fokus terhadap penciptaan nilai jangka panjang demi memberi manfaat kepada semua pemegang unit,” jelas PNB.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Januari lepas, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham, melibatkan jumlah pertimbangan kira-kira RM11.0 bilion, yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan terbitan saham biasa baharu dalam Sunway.

Pada 4 Februari pula, Fadillah berkata, PNB akan menilai VGO itu berdasarkan pertimbangan komersial, risiko tawaran, tadbir urus serta keuntungan pelaburan dan pelan strategik Sunway selepas pengambilalihan.

Sebarang keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran akan dibuat secara bebas dan tertakluk kepada proses tadbir urus serta kelulusan dalaman PNB, katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • PNB belum membuat keputusan berkaitan Tawaran Am Sukarela oleh Sunway Bhd untuk membeli kepentingan dalam IJM Corporation Bhd
  • PNB akan menilai tawaran itu berdasarkan pertimbangan komersial termasuk pulangan pelaburan
  • Dokumen tawaran dikeluarkan oleh Sunway kepada semua pemegang saham IJM
  • PNB memegang kepentingan kurang daripada 13.5 peratus dalam IJM
  • Keputusan akhir mengenai pengambilalihan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah PNB berdasarkan disiplin pelaburan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!