Hari ketiga operasi SAR Ija Nizaruddin masih belum temui petunjuk baharu

MUAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin yang dikhuatiri hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong pada Isnin lalu, diteruskan pada hari ketiga.
Operasi yang bermula seawal jam 8 pagi itu melibatkan seramai 60 anggota, termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat jam 12 tengah hari, masih belum terdapat sebarang petunjuk baharu yang ditemui.
Menurut beliau, usaha pencarian tertumpu di permukaan sungai menggunakan bot milik polis dan bomba, selain pemantauan udara dengan bantuan dron milik JBPM.

“Kami akan maklumkan perkembangan semasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Siasatan juga masih dijalankan secara menyeluruh dan insiden ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Selasa, Ija Nizaruddin dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya dipercayai terjunam ke dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

