Ija Nizaruddin, adik akan dituduh esok

Tengku Nizaruddin dan adiknya akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat atas laporan palsu kehilangan di Sungai Tui.
Tengku Nizaruddin dan adiknya akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat atas laporan palsu kehilangan di Sungai Tui.
A
A
A

MUAR – Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat berhubung kes laporan palsu berkaitan sebuah kereta yang terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

“Kes ini berkaitan sebuah kenderaan yang dijumpai terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, yang akhirnya disahkan sebagai kes laporan palsu.

"Kedua-dua individu akan dituduh pada 25 Julai 2025 di Mahkamah Majistret Muar,” katanya dalam kenyataan malam Khamis.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat laporan polis terhadap kedua-dua beradik berkenaan susulan laporan palsu mengenai kehilangan Tengku Nizaruddin di Sungai Tui.

Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada jam 11.30 pagi Ahad lalu atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Menurut Norshuhada, laporan itu bertujuan memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak sesekali melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu tugas anggota penyelamat.

Sepanjang operasi mencari dan menyelamat selama empat hari itu, lebih 30 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Labis dan Pagoh dikerahkan ke lokasi kejadian, susulan laporan kehilangan yang dibuat oleh adik pempengaruh tersebut.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan bahawa seorang peniaga dan pemilik kedai aksesori kenderaan didakwa hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai sengaja mereka cerita berhubung kehilangan tersebut sebelum bertindak melarikan diri ke negara jiran.

Adiknya pula disyaki bersubahat dengan memberikan keterangan palsu demi kepentingan peribadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!