UDA Cares perkasa bakat boling muda Perak

IPOH - UDA Holdings Berhad (UDA) memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan komuniti menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melahirkan lebih banyak bakat muda bagi sukan boling.
Program UDA Cares: ‘Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ yang dirintis sejak Februari 2025 memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menyertai sukan itu.
Pengerusi UDA,Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, sukan boling memerlukan perbelanjaan dan kos yang tinggi menyebabkan program itu dirintis untuk memberi ruang serta akses kepada pelajar.
“Sukan boling memerlukan perbelanjaan dan kos penyertaan tinggi sering menidakkan peluang kepada bakat-bakat muda yang berada di bangku persekolahan terutamanya daripada kumpulan B40 untuk berpeluang melibatkan diri secara aktif.
“UDA yakin dalam kelompok ini tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya diberi ruang, peluang, bimbingan dan sokongan," katanya dalam sidang akhbar di Lite Superbowl JB9, Angsana Ipoh Mall di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil dan bekas atlet tenpin boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.
Mohd Annuar berkata, UDA melihat program berkenaan menjadi platform pembangunan holistik untuk generasi muda dalam membina jati diri, disiplin dan memupuk semangat kesukanan menerusi kerjasama strategik sektor awam dan swasta.
Pada program itu, sesi pemilihan peserta berlangsung pada 10 dan 11 Jun lalu melibatkan 120 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sri Kinta, SJK (T) Kampung Simee, SK Cator Avenue dan SJK (C) Chung Tack Simee.

Daripada jumlah tersebut, seramai 30 pelajar berpotensi telah dikenal pasti dan kini menjalani latihan intensif selama 16 minggu bermula 16 Jun hingga 6 Oktober 2025.
Bagi menjayakan program ini, UDA berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Yayasan Perak serta pihak swasta iaitu Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd.
Kemuncak program bakal diadakan pada 12 Oktober 2025 di Ipoh, merangkumi Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian sempena Hari Sukan Negara serta Karnival UDA 2025.
Mohd Annuar berkata, kesemua peserta yang dipilih akan menjalani latihan selama 16 minggu sambil dibimbing oleh Syaidatul Afifah.
“Pasukan jurulatih ini menggabungkan kepakaran Syaidatul Afifah selaku kapten jurulatih bersama dua lagi jurulatih profesional tempatan.
“Diharap program ini dapat mencungkil potensi sebenar peserta dan seterusnya mencapai objektif utama program untuk melahirkan juara yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, pemilihan Angsana Ipoh Mall merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan pusat komersial milik UDA dalam memperkasakan masyarakat setempat sejajar dengan penjenamaan 'L.I.F.E' (Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich).
“Angsana Ipoh Mall bukan sekadar destinasi beli-belah, tetapi hab komuniti inklusif yang mencerminkan salah satu peranan UDA dalam menggalakkan aktiviti keusahawanan di kawasan bandar.
“Kehadiran Lite Superbowl JB9 selari dengan usaha UDA untuk menghidupkan kembali pusat boling yang sebelum ini pernah menjadi tarikan utama di sini,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.uda.com.my atau Instagram @uda_official dan laman Facebook UDA Holdings Berhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
