Slot sasar lebih banyak trofi buat Liverpool

SLOT. Foto AFP
SLOT. Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menegaskan kelab itu tidak akan membenarkan sebarang kealpaan musim depan selepas berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh bergaya.

Kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur di Anfield pada Ahad menyaksikan The Reds tidak lagi mampu dipintas pencabar terdekat, Arsenal, berbaki empat perlawanan.

Kejayaan itu juga menyaksikan Liverpool kini menyamai rekod musuh ketat, Manchester United dengan 20 kejuaraan liga utama England.

Lebih manis, kejayaan ini hadir dalam musim pertama Slot mengambil alih tugas daripada Jurgen Klopp pada Jun lalu, sesuatu yang tidak dijangka oleh ramai pemerhati bola sepak.

Liverpool memulakan musim dengan cemerlang, hanya mengalami dua kekalahan dalam liga sepanjang musim, ketika Manchester City, Chelsea dan Arsenal gagal mengekalkan prestasi konsisten.

Selepas perlawanan, ribuan penyokong berkumpul di luar Anfield meraikan kejayaan tersebut dengan sorakan dan letupan bunga api, mengenang kembali detik bersejarah ketika menjuarai liga pada 2020 yang diraikan tanpa kehadiran peminat akibat sekatan Covid-19.

Slot yang kelihatan serasi dengan kehidupan di Anfield berkata, perancangan untuk musim hadapan telahpun disusun dan beliau tidak bimbang tentang motivasi para pemain untuk terus memburu kejuaraan.

"Saya tidak perlu menguruskan harapan kerana harapan di kelab ini sentiasa sama. Kami mesti bersaing untuk semua trofi, dan itu tidak berubah sejak saya tiba di sini, dan ia juga tidak akan berubah musim depan," kata bekas jurulatih Feyenoord itu, yang menjadi jurulatih Belanda pertama menjuarai EPL.

Artikel Berkaitan:

"Kami mempunyai skuad yang mampu memenangi kejuaraan, tetapi kami bukan satu-satunya. Banyak pasukan hebat dalam liga ini dan juga di Liga Juara-Juara, jadi ia tidak akan mudah. Namun, kami harus tetap bersaing."

Musim Liverpool diakhiri dengan cemerlang walaupun beberapa minggu lalu mereka melalui detik sukar selepas tewas kepada Newcastle dalam final Piala Liga dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Paris Saint-Germain.

Walaupun telah lama diramal menjuarai EPL, kekalahan tersebut sedikit sebanyak mencetuskan rasa hambar dalam kalangan penyokong, ditambah pula dengan ketidakpastian mengenai masa depan bintang utama seperti Mohamed Salah, kapten Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold.

Bagaimanapun, Salah dan Van Dijk kini telah menandatangani kontrak baharu, memberikan kestabilan kepada kelab, manakala Alexander-Arnold masih dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Slot turut menegaskan bahawa keutamaan mereka sentiasa terarah kepada kejayaan domestik.

"Walaupun kami sangat kecewa apabila disingkirkan oleh Paris Saint-Germain, kami tahu ada matlamat yang lebih besar untuk dicapai," katanya.

"Untuk memenangi liga paling sukar di dunia dalam era yang semakin kompetitif ini adalah sesuatu yang amat istimewa."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!