GRIP sasar bina masyarakat inklusif, bersatu padu

Majlis perasmian Program GRIP Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Majlis perasmian Program GRIP Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Inisiatif ini menggabungkan intipati utama program perpaduan sedia ada seperti Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia dan program silang budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pelaksanaan GRIP selaras dengan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang meletakkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan integrasi sosial dan pembentukan masyarakat inklusif sebagai teras utama negara.

Menurutnya, selain berasaskan pendekatan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung, program GRIP turut disusun secara sistematik melalui tiga kluster utama.

Program GRIP diharap dapat membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti.
Program GRIP diharap dapat membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti.

“Pertama, Kluster Kenegaraan yang memberikan penekanan kepada pemahaman dan penghayatan terhadap Sejarah Pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kedua, Kluster Budaya dan Adat Resam yang merangkumi informasi kepada makanan tradisi, pakaian, perayaan, persembahan seni rakyat, permainan tradisional serta hasil kraf tangan pelbagai etnik.

“Ketiga adalah Kluster Nilai-Nilai Murni yang mengangkat aspek sivik dan moral,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan program GRIP memenuhi keperluan untuk memperkasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik, selari dengan syor utama yang digariskan dalam Laporan Indeks Perpaduan Sekolah 2022.

Tambah Aaron, program berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negeri mulai tahun ini.

"Ia diharapkan dapat membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti mereka.

"Ini merupakan usaha strategik untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif, dan bertanggungjawab," ujarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!