Mengapa perlu bersyukur dengan pengumuman PM?

PENGUMUMAN terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelegaan kepada rakyat apabila kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan tunai RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 21 tahun ke atas bermula 31 Ogos ini, selain menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 sebelum ini.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada langkah terkini kerajaan di bawah Belanjawan Madani 2025, yang menyaksikan keseluruhan bantuan tunai dinaikkan kepada RM15 bilion, berbanding RM13 bilion sebelum ini.
Ini sekali gus menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat secara inklusif dan menyeluruh.
Langkah ini turut melengkapi pendekatan sedia ada termasuk pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan bayaran tambahan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang memberi manfaat langsung kepada 8.4 juta penerima.
Tindakan ini membuktikan bahawa dalam keadaan fiskal yang mencabar dan geopolitik global yang tidak menentu, Malaysia masih mampu memberi kelegaan kepada rakyat sambil memperkukuh disiplin kewangan negara.
Langkah Perdana Menteri melaksanakan subsidi diesel bersasar serta menyalurkan bantuan STR tambahan sejak Jun lalu merupakan antara dasar paling berani dalam sejarah pentadbiran fiskal negara.
Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan Malaysia masih mampu menghulurkan bantuan tunai kepada rakyat, di samping mengawal ketirisan perbelanjaan negara melalui penstrukturan subsidi yang lebih adil dan tepat.
Ramai yang melihat pengumuman ini dengan pelbagai reaksi, namun secara asasnya, rakyat wajar bersyukur kerana kerajaan tidak mengambil jalan mudah memotong semua subsidi atau menaikkan cukai secara mendadak.
Sebaliknya, pendekatan memperkenalkan subsidi diesel secara bersasar membolehkan penjimatan negara melebihi RM4 bilion, yang sebahagian daripadanya terus dipulangkan kepada rakyat menerusi bantuan tunai dan program sokongan baharu.
Seramai 8.4 juta penerima STR termasuk M40, bujang dan warga emas telah mendapat manfaat langsung melalui bayaran tambahan tunai, hasil penjimatan subsidi yang sebelum ini turut dinikmati golongan bukan sasaran seperti warga asing dan penyeludup.
Pengumuman ini juga menyentuh pengecualian kepada 33 kategori kenderaan komersial serta pemberian tunai BUDI MADANI kepada pengguna diesel individu dan pekebun kecil bagi mengurangkan kesan terhadap sektor pengangkutan dan logistik.
Langkah ini membuktikan kerajaan tidak tergesa-gesa atau cuai, sebaliknya mengutamakan keadilan sosial, memastikan hanya mereka yang benar-benar layak terus menerima manfaat tanpa berlaku pembaziran yang membebankan fiskal negara.
Malah, dasar ini mendapat pujian daripada pakar ekonomi dan institusi kewangan antarabangsa kerana ia mencerminkan disiplin fiskal yang bertanggungjawab, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ketelusan dasar kerajaan.
Rakyat wajar melihat pelaksanaan subsidi bersasar ini sebagai satu bentuk kebertanggungjawaban kerajaan yang tidak hanya memberi ‘gula-gula’ tetapi merancang dengan teliti demi kelangsungan ekonomi jangka panjang negara.
Kesyukuran bukan sekadar ucapan, tetapi harus datang bersama kesedaran.
Ketika banyak negara lain terpaksa menarik semula bantuan sosial akibat kekangan belanjawan, Malaysia masih mampu membantu rakyat termiskin dan mengekalkan harga barang keperluan dengan intervensi yang berhemah.
Bayaran tambahan STR sebelum Hari Raya Aidiladha juga membuktikan keprihatinan terhadap rakyat agar dapat menyambut perayaan dalam keadaan lebih selesa terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Ramai pengguna media sosial yang hanya melihat kenaikan harga diesel semata-mata tanpa mengambil kira keseluruhan pakej sokongan dan rasional kewangan di sebaliknya.
Hal ini mendorong kepada persepsi yang berat sebelah.
Sebaliknya, rakyat harus menilai secara menyeluruh dan adil bantuan tunai meningkat, penjimatan negara bertambah, kebocoran ditutup dan kecekapan perbelanjaan meningkat.
Bukankah itu satu perubahan yang patut disambut dengan kesyukuran?
Dalam Malaysia Madani, rasa syukur itu turut merangkumi tanggungjawab sosial iaitu menyokong dasar baik kerajaan, tidak menyeleweng bantuan, dan menjadi pengguna yang lebih bijak serta prihatin terhadap pembaziran sumber negara.
Kita tidak menafikan hak rakyat untuk menegur dan menyuarakan pendapat. Tetapi dalam masa sama, kita juga perlu berlaku adil apabila kerajaan melaksanakan sesuatu dasar secara terperinci dan berhati-hati demi kesejahteraan semua.
Keberanian PMX untuk melaksanakan dasar tidak popular, tetapi betul dari segi ekonomi, memperlihatkan ciri-ciri pemimpin negarawan bukan semata-mata mengejar populariti tetapi berani mendahulukan masa depan negara.
Jika semua pengumuman kerajaan yang baik dilihat dari sudut negatif semata-mata, maka akhirnya kita sendiri akan kehilangan peluang untuk berubah ke arah yang lebih stabil dan mampan.
Justeru, rakyat perlu bersyukur apabila pemimpin menunjukkan kesungguhan memperbaiki sistem yang rosak sekian lama. Tidak cukup hanya meminta lebih, tanpa menghargai apa yang telah diberikan secara beransur-ansur dan telus.
Penganalisis ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai menyifatkan pelaksanaan subsidi bersasar sebagai pembetulan struktur subsidi negara yang tertangguh sejak sekian lama.
Beliau berkata, pendekatan ini wajar dipuji kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat yang layak, tetapi menutup ruang ketirisan yang mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
“Penjimatan itu pula tidak disimpan semata-mata, sebaliknya dikitar semula untuk diagihkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan STR tambahan dan sokongan melalui BUDI MADANI.
"Ini suatu kaedah pengurusan fiskal yang bijaksana dan progresif,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Lee Hwok Aun, berkata langkah berani kerajaan ini akan membina asas fiskal yang kukuh untuk Malaysia dalam jangka sederhana.
Katanya, kerajaan telah berjaya menangani isu populisme fiskal yang selama ini membebankan bajet negara.
“Rakyat juga harus memahami bahawa subsidi menyeluruh adalah tidak mampan.
"Melalui subsidi bersasar, kita dapat bantu golongan yang betul, dan dalam masa sama mengelakkan pembaziran yang menjejaskan pelaburan masa depan negara seperti pendidikan dan kesihatan,” ujar beliau.
Jika dibandingkan dengan negara lain, pendekatan Malaysia dilihat lebih seimbang.
"Di Nigeria, pemansuhan subsidi bahan api telah menyebabkan lonjakan inflasi dan kemarahan rakyat luar bandar, hingga kerajaan terpaksa memperkenalkan semula bantuan tunai kepada 12 juta isi rumah.
Sementara di India, pelaksanaan sistem Direct Benefit Transfer (DBT) berjaya menggantikan subsidi pukal dengan bantuan langsung ke akaun bank penerima yang disahkan.
Langkah itu mendapat pujian kerana meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penggunaan dana awam.
Ecuador, Ukraine dan Dominican Republic juga terbukti berjaya melaksanakan reformasi subsidi tenaga apabila kerajaan menggantikan subsidi pukal dengan bantuan tunai bersasar, berdasarkan garis kemiskinan dan jumlah tanggungan isi rumah.
Perbandingan ini menunjukkan bahawa Malaysia kini sedang bergerak seiring dengan negara-negara yang berjaya menguruskan subsidi dengan lebih lestari.
Bezanya, Malaysia masih mengekalkan sokongan kepada rakyat dalam bentuk tunai tambahan dan harga minyak yang terkawal.
Kesimpulannya, kerajaan bukan sekadar membuat pengumuman bersifat sementara, sebaliknya sedang membina sistem bantuan yang mampan, bersasar dan adil.
Ini sepatutnya disambut bukan dengan prejudis, tetapi dengan rasa tanggungjawab bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

