Khalid minta maaf, tarik balik kenyataan terhadap Presiden Pas

Khalid ketika sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam hari ini.
Khalid ketika sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad meminta maaf serta menarik balik kenyataan kontroversinya terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menimbulkan rasa tidak senang hati terutamanya di kalangan penyokong kuat parti Islam itu.

Beliau berkata, kenyataan mengatakan 'Presiden Pas sudah tidak centre' itu langsung tidak berniat untuk membuat serangan peribadi ke atas Abdul Hadi.

Menurutnya, tiada untung pun jika beliau menyerang Ahli Parlimen Marang itu dengan cara demikian dan atas teguran Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang berhubung hal tersebut, Khalid memberitahu dia bersetuju untuk menarik balik kenyataannya.

"Lagipun apa yang saya maksudkan sebagai 'tidak centre' bukan Abdul Hadi tetapi kenyataannya yang mengatakan sesiapa ingin mempelajari politik Islam boleh rujuk pada Pas.... Kenyataan itu yang 'tidak centre'.

"Saya juga tetap mempertahankan hujah bahawa Pas bukan model politik Islam,"katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Khidmat Parlimen Shah Alam, di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid melalui satu program Jom Channel Facebook Live yang diadakan di Pejabat Parti Amanah Negara, Kuala Terengganu baru-baru ini memberi reaksi kontroversi itu selepas diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa sesiapa yang ingin mempelajari politik Islam mereka perlu mendampingi Pas kerana contohnya ada pada parti itu.

Kenyataan beliau itu kemudiannya membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli serta pengikut Pas sehingga diprovokasi beberapa individu selepas selesai program tersebut dan memaksanya membuat laporan polis atas faktor keselamatan.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Abdul Hadi telah mengkhianati perjuangan Pas yang ingin menghayati perjuangan Islam sebenar apabila bekerjasama dengn UMNO dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ini kerana sejak awal lagi, ketika kepimpinan Almarhum Datuk Mohamad Asri Muda ditolak perwakilan Pas pada 1982, perjuangan yang ingin dibawa adalah perjuangan Islam yang bebas dari perkauman dan penyelewengan.

Katanya, oleh itu sikap bersama kerajaan pintu belakang atau 'tebukan bumbung' Perikatan Nasional adalah jauh tersasar dari perjuangan yang dibawa kepimpinan almarhum ustaz Fadzil Muhammad Noor dan almarhumTok Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Malah apa yang berlaku kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang adalah sama dengan apa yang dialami kami.

"Dr Mahathir kata Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkhianati perjuangan Bersatu kerana perjuangan parti itu adalah untuk membina parti Melayu yang bebas rasuah untuk menggantikan UMNO.

"Tetapi Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH dan bersekongkol membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama UMNO, maka matlamat itu telah dikhianati beliau,"katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut memuji sikap Penasihat Umum parti (Ahmad) yang memainkan peranan sebagai ulama dan pemimpin dengan menegurnya apabila terlanjur kata.

"Itu antara peranan terpenting ulama iaitu membimbing dan menasihati, bukan mengapi-api atau mencari dalil menegakkan benang basah.

"Saya juga sebenarnya menunggu sehingga hari ini untuk beri peluang kepada pemimpin Pas menegur pengikut mereka yang cenderung kepada keganasan tapi malangnya saya dapati semua kenyataan pemimpin Pas mengutuk saya dan langsung tidak menegur tindakan melampau penyokong mereka,"katanya.