Akhirnya Sanusi minta maaf

Penjelasan dimuat naik Muhammad Sanusi di Facebook miliknya pada Sabtu.
Penjelasan dimuat naik Muhammad Sanusi di Facebook miliknya pada Sabtu.
A
A
A

KONTROVERSI yang melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa ceramahnya di Selangor baru-baru ini telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Ucapan yang dikatakan telah mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besar itu telah menimbulkan rasa ketidakselesaan banyak pihak sekaligus menggesa permohonan maaf daripada beliau.

Bukan sahaja daripada warganet dan juga ahli politik dari blok kerajaan, malahan ucapan yang menghina Sultan Selangor itu menyebabkan Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan menggesa Muhammad Sanusi melakukan permohonan maaf secara terbuka.

Pada awalnya, Muhammad Sanusi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu kenyataannya diputar belit media lagi.

Bagaimanapun, pada Sabtu, beliau melalui satu hantaran di Facebooknya memaklumkan telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan itu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah.

Beliau turut mendakwa bahawa, ucapannya pada hari tersebut diputar belit oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Muhammad Sanusi turut mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan siasatan terhadapnya.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, setakat ini, sebanyak 30 laporan polis telah dilakukan terhadap Muhammad Sanusi.

Tambahnya lagi, Muhammad Sanusi perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapannya yang terus menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mana-mana pihak membangkitkan isu membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja-Raja adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, ia tidak boleh diselesaikan dengan permohonan maaf kerana ia bukan satu pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.

Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas menyiasat sesiapa sahaja yang membangkitkan isu 3R yang melanggar mana-mana undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.