Perjumpaan gay: Percanggahan kenyataan antara KKM, PDRM sesuatu yang pelik - MP Pokok Sena

AHMAD
AHMAD
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen pembangkang menyifatkan percanggahan kenyataan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung serbuan pihak berkuasa di sebuah banglo di Kota Bharu, Kelantan yang didakwa menganjurkan perjumpaan gay sebagai sesuatu yang pelik.

Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, percanggahan kenyataan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai fakta sebenar.

“Dalam bahasa lain, siapa sebenarnya yang bercakap benar, atau yang menipu? Pihak Polis Kelantan mengesahkan tiada penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), klinik kesihatan, mahupun KKM dalam acara berkenaan.

"Bahkan, pegawai daripada NGO atau agensi kementerian sendiri tidak muncul," katanya ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Polis Kelantan pada Rabu dilapor menegaskan serbuan dilakukan bulan lalu adalah berasaskan maklumat risikan dan bukti yang sah, tanpa sebarang niat diskriminasi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ketika serbuan dilakukan tiada wakil penganjur daripada NGO atau kakitangan KKM di lokasi berkenaan.

Kenyataan terbaharu itu di keluarkan susulan wujud kenyataan berbeza mengenai serbuan yang dibuat tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum itu dilaporkan berkata, program yang diserbu polis Kelantan sebenarnya adalah program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mempersoalkan sama ada serbuan yang dilakukan polis itu boleh dianggap sebagai mencabul hak asasi manusia atau ia memang sebuah program songsang yang berselindung atas nama kesedaran kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau memohon penjelasan lanjut daripada pihak kementerian mengenai pencanggahan tersebut.

Dalam sesi perbahasan sama, Ahmad juga membangkitkan agar kerjasama antara SUHAKAM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diperkukuh, khususnya dalam usaha mengharmonikan isu hak asasi manusia dengan prinsip maqasid syariah.

Jelas beliau, kerjasama tersebut penting dalam memastikan pendekatan terhadap isu-isu seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam serta etika berpakaian sopan di premis kerajaan, tidak hanya dinilai dari sudut hak asasi semata-mata.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!