Empangan Bukit Merah cecah aras kritikal

JPS Kerian menerusi hantaran di Facebook pada Selasa memaklumkan Empangan Bukit Merah telah mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan.
JPS Kerian menerusi hantaran di Facebook pada Selasa memaklumkan Empangan Bukit Merah telah mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan.
A
A
A

IPOH – Empangan Bukit Merah kini berada pada Aras Henti Bekalan Pengairan apabila catatan terkini menunjukkan paras air hanya mencecah 6.065 meter berikutan musim kering yang berpanjangan di kawasan berkenaan.

Berdasarkan perkongsian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa, situasi berkenaan menyebabkan bekalan air ke kawasan sawah padi terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Jelasnya, ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian empangan yang menetapkan had minimum 6.09 meter sebagai aras henti bekalan.

“Empangan Bukit Merah telah mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan pada paras 20 kaki (6.09 meter).

“Mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah padi akan dihentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah,” jelas JPS Kerian menerusi hantaran tersebut.

Empangan yang kini hanya menyimpan 6.947 juta meter padu air berada pada tahap kritikal dengan kadar aliran masuk (inflow) sekitar 5.250 meter padu sesaat.

Jumlah ini dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan bekalan pengairan bagi kawasan jelapang padi utama di daerah tersebut.

Ketika ini, aliran ke Terusan Selinsing dan Terusan Besar masing-masing dicatatkan pada kadar 2.832 dan 2.265 meter padu sesaat.

Sehubungan itu, JPS Kerian menyeru orang ramai khususnya para petani agar bersama-sama berdoa dan bermunajat kepada Ilahi agar hujan yang bermanfaat dapat diturunkan bagi memulihkan semula paras air empangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan SOP Bekalan Pengairan, paras normal empangan ialah 8.69 meter, manakala paras berjaga-jaga bermula pada 7.62 meter.

Paras terkini empangan kini jauh di bawah Aras Kritikal Tahap 3 iaitu 6.40 meter.

Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembenihan awan bagi menangani masalah penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah di Bagan Serai masih belum boleh dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kajian oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang melibatkan faktor teknikal seperti arah angin dan keadaan cuaca semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!