Program sinar komuniti: Mahasiswa PACE UUM santuni anak yatim

SHAH ALAM - Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) menyantuni 23 anak yatim berusia dua hingga 15 tahun menerusi penganjuran program kemasyarakatan Sinar Komuniti UUM bersama Anak-Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di Farm Fresh, Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Program anjuran 35 pelajar Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) PACE UUM Semester April 2025/2026 (JA251) itu bertujuan menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa melalui pembabitan aktif bersama komuniti, khususnya anak-anak yatim.
Program tersebut juga merupakan sebahagian daripada kursus Kokurikulum Pembangunan Masyarakat III (VKMB2031).

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik ceria, lawatan sambil belajar ke ladang tenusu, sesi motivasi, aktiviti interaktif berkumpulan serta jamuan mesra.
Timbalan Pengarah PACE UUM, Prof Madya Dr Abdul Aziz Othman berkata, program yang dianjurkan ini bukan sahaja menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa besar dan berempati.
“Penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kesedaran sosial tinggi serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
"Program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman sebenar bersama komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan rasmi program tersebut.
Tambah beliau, inisiatif sebegini merupakan manifestasi nilai-nilai murni yang menjadi teras pendidikan di UUM.
Menurutnya, nilai seperti kasih sayang, tanggungjawab sosial dan semangat perpaduan perlu dipupuk secara berterusan agar mahasiswa dapat berkembang sebagai individu yang seimbang dari segi intelek dan sahsiah.
"PACE UUM akan terus menyokong program komuniti yang berimpak tinggi dan memberi manfaat langsung kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin masa depan yang prihatin dan berintegriti," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Program Pembangunan Masyarakat III (VKMB2031) Semester April 2025/2026 (JA251), Mohd Khairulnizam Zainodin menekankan bahawa pembelajaran yang berkesan tidak hanya berlaku di dalam bilik kuliah, tetapi juga melalui pengalaman langsung bersama masyarakat.
Katanya, program seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan komunikasi melalui interaksi sebenar dengan komuniti.

Beliau memberitahu bahawa penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan membolehkan mahasiswa memahami realiti kehidupan golongan yang kurang bernasib baik serta membina kepekaan sosial yang tinggi.
“Program ini bukan sahaja memberi impak kepada mahasiswa, tetapi juga kepada anak-anak yatim yang terlibat. Dengan pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan dan interaktif, anak-anak yatim dapat merasai suasana yang positif, dihargai serta diberi perhatian.
“Kami percaya bahawa pembelajaran sebenar berlaku apabila mahasiswa turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti. Program ini memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk merasai suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna," ulasnya.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang, pihak pengurusan Farm Fresh serta pelbagai pihak yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

