Lotus's Malaysia terus bantu anak yatim, golongan memerlukan sempena Ramadan

Azliza (tengah) bergambar bersama anak-anak yatim ketika majlis berbuka puasa di Lotus's Malaysia Kajang.
Azliza (tengah) bergambar bersama anak-anak yatim ketika majlis berbuka puasa di Lotus's Malaysia Kajang.
A
A
A

KAJANG - Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) meneruskan usaha murni menerusi semangat #KitakanJiran dengan menyediakan 600 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menyasarkan individu dari rumah-rumah kebajikan dan anak-anak yatim daerah Kajang dengan menyediakan pelbagai juadah bagi berbuka puasa.

Penyediaan juadah berbuka puasa itu dilakukan secara gotong-royong dengan bantuan sukarelawan di ruang letak kereta Lotus's Malaysia Kajang bermula seawal jam 2 petang pada Khamis.

Azliza (dua dari kiri) bersama sukarelawan menyediakan juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan di Lotus's Kajang.
Azliza (dua dari kiri) bersama sukarelawan menyediakan juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan di Lotus's Kajang.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus's Malaysia, Azliza Azmel berkata, seramai 80 sukarelawan dalam kalangan kakitangan terlibat dengan kerja-kerja penyediaan bahan, memasak sehinggalah pembungkusan dan pengagihan.

"Selari dengan tema Senyuman Paling Bernilai, kami di Lotus's Malaysia teruja untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik setiap kali Ramadan dan ini merupakan tahun keempat program yang sama diadakan.

"Tahun ini kami menyasarkan 600 orang melibatkan sembilan buah rumah kebajikan termasuk anak-anak yatim. Sebanyak 500 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada tujuh buah rumah kebajikan manakala 100 lagi kepada dua buah rumah anak yatim yang dijemput untuk berbuka puasa di sini.

"Selain menyediakan juadah berbuka puasa, 100 anak yatim itu berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti bermain congkak, berjumpa dengan maskot animasi tempatan, Omar dan Hana, bermain permainan digital dan diberi RM150 baucer jenama kasut terkemuka dunia, Bata," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azliza, pada masa sama, Lotus's Malaysia turut mengagihkan 50 ekor ayam segar dan barangan keperluan kepada 40 masjid di seluruh Malaysia.

Menurutnya, program menyumbang ayam segar kepada masjid itu bermula mnggu ini dan akan berakhir pada hujung bulan Ramadan.

"Seramai 220 sukarelawan akan turun padang ke seluruh negara bagi menyampaikan sumbangan kepada komuniti Muslim dan masjid-masjid tempatan.

"Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih daripada 16,000 individu yang memerlukan serta keluarga mereka.

"Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan diharapkan dengan kedua-dua program itu dapat membawa keceriaan dan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.InsyaALLAH, ia akan diadakan setiap tahun serta lebih ramai lagi dapat dibantu," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!