Tiada niat hukum orang sudah mati, hanya mahu pulih dana negara diseleweng - PM

PUTRAJAYA- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak berniat untuk menghukum orang yang telah meninggal dunia.
Sebaliknya, kata beliau kerajaan mahu memulihkan semula dana negara yang telah diseleweng.
"Kita bukan nak hukum orang yang telah mati, kita nak ambil balik duit yang dia ambil secara tidak sah.
"Maknanya guna ruang Parlimen mempertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion,” katanya dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF) di sini pada Khamis.
Awal bulan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya menyita dan melucut hak aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri, ahli keluarga serta sekutunya bernilai lebih RM3 bilion.
Dalam kenyataan, SPRM telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa di 11 buah negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion.
SPRM memperoleh Perintah Halangan (Restraining Order) di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset tak alih dan alih yang terletak di United Kingdom yang dianggarkan bernilai RM758 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

