KESUMA tumpu pembangunan tenaga kerja berkemahiran hijau

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi tumpuan pembangunan tenaga kerja berkemahiran hijau untuk terus memperkasa modal insan, mempromosikan hak dan kebajikan pekerja selain membangunkan ekosistem mampan serta inklusif di seluruh rantau ASEAN.
Selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, tiga teras strategik akan menjadi fokus terhadap Pembangunan Ekonomi Hijau dan Penyediaan Tenaga Kerja Berkemahiran Hijau, Pemerkasaan Modal Insan dan Latihan Kemahiran serta Perlindungan dan Kesejahteraan Pekerja.
KESUMA bersama agensi-agensi di bawahnya berbesar hati untuk menerajui penganjuran pelbagai program berimpak tinggi.
Tenaga kerja berkemahiran hijau pacu ekonomi masa hadapan Malaysia meletakkan agenda ekonomi hijau sebagai keutamaan dan beberapa program utama untuk membina serta menyokong tenaga kerja yang semakin pesat.
Antara program yang telah dirangka ialah ASEAN Green Jobs Forum (AGJF) 2025 anjuran KESUMA akan berlangsung pada 27 hingga 28 Ogos 2025 di Le Meridien, Putrajaya untuk berkongsi dasar, amalan terbaik dan meningkatkan kesedaran mengenai agenda Pekerjaan Hijau ASEAN.
KESUMA menyasarkan pegawaipegawai kanan ASEAN, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada industri, kumpulan pemikir dan institusi pengajian tinggi.
Hasil utama yang dijangkakan ialah satu kenyataan menteri dan satu Kerangka serta Pelan Tindakan untuk Promosi Pekerjaan Hijau.
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut bersama KESUMA menguruskan ASEAN Green Jobs Fair untuk membuka peluang pekerjaan hijau kepada rakyat Malaysia dan seluruh rantau ASEAN.
Karnival tersebut akan diadakan serentak pada 28 hingga 30 Ogos 2025 di IOI Grand Exhibition Centre, Putrajaya dan sebanyak 50 majikan dijangka
menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian lestari serta mobiliti elektrik.
Pencari kerja dan majikan boleh menyertainya secara percuma dengan mendaftar di laman sesawang www. myfuturejobs.gov.my/careerfair.
Selain itu, Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut menganjurkan ASEAN Green Skills Fair 2025 pada 28 hingga 30 Ogos 2025 di IOI Grand Convention Centre, Putrajaya untuk memberi tumpuan terhadap pembangunan kemahiran hijau selain menyasarkan pelajar, pekerja industri hijau, institusi pendidikan dan masyarakat umum.
Program itu bertujuan menyokong Pelan Tindakan Pembangunan Kemahiran Hijau Kebangsaan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemahiran hijau dalam pasaran kerja.
Melabur dalam modal insan melalui latihan dan pembangunan kemahiran

Dalam pada itu, KESUMA berkata, HRD Corp akan mengetuai inisiatif di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, yang merangkumi siri program sepanjang tahun untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja serantau.
Antara program yang dirangka ialah ASEAN Human Capital Development Investment Symposium dan ASEAN Training Market Conference.
ASEAN Human Capital Development Investment Symposium yang berlangsung pada 27 hingga 28 Mei 2025 menjadi platform perbincangan mengenai pelaburan strategik dalam latihan dan pembangunan kemahiran bagi menangani landskap ekonomi yang pesat berubah.
Simposium itu mengumpulkan penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar pembangunan tenaga kerja.
ASEAN Training Market Conference berlangsung pada 15 Julai 2025 bertujuan untuk menangani jurang kemahiran dan mengukuhkan kerjasama serantau untuk mewujudkan ekosistem latihan harmoni serta mudah suai.
Memperkukuh perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja
Sementara itu, KESUMA akan terus berusaha memastikan hak dan kebajikan pekerja, termasuk migran, sentiasa dilindungi melalui dialog serta penguatkuasaan.
Bagi memperkukuh perlindungan dan keselamatan pekerja, KESUMA akan mengadakan 18th ASEAN Forum on Migrant Labour (AFML) yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 10 September 2025 di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
Ia merupakan platform tripartite untuk menyemak, berbincang dan bertukar amalan terbaik mengenai isu pekerja migran di peringkat ASEAN.
Tema utama forum ini adalah ‘Accelerating Actions Towards Sustainable Development Goals (SDGs) on Safe Migration and Decent Work for Migrant Workers in ASEAN’.
Penyertaan adalah melalui pencalonan daripada wakil kerajaan, pekerja, majikan dan masyarakat sivil dari negara ASEAN dan Timor Leste.
Selain itu, penganjuran 14th ASEAN Labour Inspection Conference (ALIC) & 5th Asean Labour Inspection Committee Meeting (ALICOM) menjadi platform untuk berkongsi maklumat, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pematuhan tempat kerja melalui pemeriksaan buruh.
Persidangan itu dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bermula dari 28 hingga 30 Oktober 2025 di Pulau Pinang.
Tema ‘The Sustainability of Employees Accommodation and Amenities is a Tribute to Human Dignity and Equality’ menjadi tumpuan dalam persidangan kali ini.
Mesyuarat ke-18 Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pelaksanaan Deklarasi ASEAN Mengenai Perlindungan dan Promosi Hak-Hak Pekerja Migran (18th ACMW) akan berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos 2025 di Le Meridien, Kuala Lumpur.
Mesyuarat ini menghimpunkan semua focal point negara-negara ASEAN untuk membentangkan kemajuan pelaksanaan program di bawah Rancangan Kerja ACMW 2021–2025 yang bertujuan memperkukuh perlindungan serta menjamin hak-hak pekerja migran di rantau ini.
Dalam pada itu, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025 pada 4 hingga 5 Ogos 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre bagi memperkukuhkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan negara ASEAN.
Menerusi persidangan kemuncak tersebut, peserta akan mendapat maklumat terkini mengenai piawaian, dasar dan teknologi baharu dalam pengurusan risiko di tempat kerja.
Penganjuran sidang kemuncak ini juga bertujuan untuk mempromosikan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang ini dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang https:// aseanoshsummit.com.my/.
Melalui penganjuran programprogram strategik itu, KESUMA bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembangunan modal insan, tetapi juga menyumbang ke arah pembentukan Komuniti ASEAN lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
