Pengambilan tenaga kerja asing ikut keperluan bukan perniagaan - Menteri

SHAH ALAM - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan pengambilan tenaga kerja asing ke negara ini seharusnya berlandaskan konsep keperluan dan bukannya perniagaan.
Beliau yang menerima kunjungan hormat Penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr Asif Nazrul pada Jumaat itu berkata, ia perlu berdasarkan permintaan sektor yang sebenar dan bukannya dijadikan ruang untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan usaha untuk memastikan pengurusan tenaga kerja yang lebih telus, beretika dan berlandaskan prinsip tanggungjawab bersama.
"Kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh mekanisme penyelarasan teknikal pengurusan tenaga kerja melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG).
"Langkah ini penting bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani secara tepat pada masanya berdasarkan semangat kefahaman dan kebertanggungjawaban bersama. Mesyuarat JWG seterusnya dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Mei ini di Dhaka, Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kedua-dua negara kini dipimpin oleh kerajaan reformis yang mempunyai kesungguhan politik untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam pengurusan tenaga kerja rentas negara.
Ujarnya, ia merupakan peluang penting untuk menetapkan semula sistem sedia ada agar lebih berakauntabiliti, telus dan adil kepada para pekerja.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia turut berkongsi strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
"Kerajaan juga sedang dalam proses untuk melaksanakan sistem levi berperingkat yang bukan sahaja akan menggalakkan pengambilan pekerja tempatan malah membentuk pasaran buruh yang lebih mampan dan berdaya saing," katanya.
Menurut beliau, Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Bangladesh atas pengiktirafan terhadap usaha Malaysia membanteras penyalahgunaan dan salah laku dalam proses pengurusan tenaga kerja.
Selain itu katanya, Kerajaan Bangladesh turut mengesahkan bahawa Malaysia tidak terlibat dalam sebarang salah laku yang telah dibangkitkan sebelum ini dan menyatakan sokongan mereka terhadap pendekatan Malaysia yang tegas dan berprinsip dalam isu pemerdagangan manusia.
"Kunjungan ini mencerminkan tekad bersama Malaysia dan Bangladesh untuk memperkukuh tadbir urus tenaga kerja rentas negara berdasarkan prinsip integriti, hak asasi dan kesejahteraan sejagat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

