Peluang kerja mahir kurang, graduan terus terhimpit

Ramai graduan dianggap tidak memenuhi piawaian industri walaupun memiliki kelulusan akademik yang baik. Gambar hiasan
Ramai graduan dianggap tidak memenuhi piawaian industri walaupun memiliki kelulusan akademik yang baik. Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA kini berdepan isu ketidakseimbangan antara jumlah graduan yang dilahirkan saban tahun dengan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang ditawarkan di pasaran.

Situasi ini telah menyebabkan fenomena underemployment semakin ketara apabila ramai graduan bekerja dalam bidang yang tidak setara dengan kelayakan akademik mereka.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dan kajian beberapa institusi penyelidikan, ribuan graduan kini terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan, kerani am, jurujual dan pekerja sektor gig demi kelangsungan hidup. Ini bukan sahaja merugikan tenaga mahir negara, malah menjejaskan motivasi golongan muda.

Antara punca utama kepada situasi ini ialah struktur pasaran kerja Malaysia yang masih berorientasikan pekerjaan separa mahir dan berasaskan tenaga buruh murah.

Banyak syarikat khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, masih belum bersedia untuk menampung kemasukan graduan mahir yang memerlukan gaji setimpal dan ruang kerjaya profesional.

Kegagalan menyelaras antara institusi pendidikan tinggi dengan kehendak industri turut menyumbang kepada isu ini.

Terdapat jurang besar antara kemahiran yang diajar di universiti dengan keperluan sebenar majikan.

Akibatnya, ramai graduan dianggap tidak memenuhi piawaian industri walaupun memiliki kelulusan akademik yang baik.

Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan dan pihak industri perlu melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Antara langkah boleh dilakukan ialah peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy) perlu dipercepatkan dengan memberi insentif kepada pelaburan dalam sektor teknologi, digital, kejuruteraan dan penyelidikan.

Selain itu kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri perlu diperkukuh melalui program latihan industri, upskilling serta curriculum mapping yang lebih realistik dan berorientasikan keperluan semasa pasaran.

Jika isu ini tidak ditangani segera, negara bakal berdepan pembaziran modal insan serta kehilangan bakat ke luar negara. Dalam jangka panjang ia boleh menjejaskan daya saing Malaysia sebagai negara membangun.

Justeru, pendekatan menyeluruh yang bersifat inklusif, responsif dan berfokus jangka panjang amat diperlukan untuk memastikan graduan negara bukan sekadar berilmu, tetapi turut diberi peluang menyumbang secara bermakna dalam bidang kepakaran masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!