85 peratus rakyat tidak terkesan tarif elektrik baharu - Fadillah

KUALA LUMPUR - Kira-kira 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan jadual tarif elektrik baharu di Semenanjung yang bermula pada 1 Julai lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berikutan sebahagian rakyat dan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan mendapat rebat.
"Sekarang ini hanya 15 peratus yang akan ada pelarasan, ada kenaikan sedikit, ada juga penurunan walaupun apa sektornya.
"Pendekatan sekarang adalah kecekapan penggunaan tenaga sama ada mahu menggalakkan mereka untuk beralih kepada tenaga boleh baharu atau menggunakan sistem lebih cekap tenaga dan menurunkan kadar penggunaan.
"Bukan lagi jenis perniagaan, tetapi kadar penggunaan yang mana mereka akan dapat rebat dan insentif. Itu pendekatan kita," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung kenyatan Persatuan Pusat Data Malaysia bahawa langkah kerajaan akan meningkatkan kos operasi dan kos dilepaskan kepada pengguna serta keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi suku kedua 2024 sebanyak RM1.44 bilion.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan, TNB perlu melabur untuk menambah baik dan menaik taraf keperluan pengguna.
"Sekarang ini kita nak memberi tumpuan disebabkan banyak tenaga boleh baharu sudah terpasang, TNB perlu pastikan grid sistem di kemas kini.
"Jika tidak, grid sistem tidak boleh mengambil tenaga boleh baharu dan akhirnya menjejaskan keterjaminan bekalan kepada rakyat.
"Segala keuntungan itu sebahagiannya akan dilabur balik untuk meningkatkan sistem grid dan penyampaian kepada rakyat bagi menjamin bekalan tenaga elektrik yang mampu dibiayai," ujarnya.
Sementara itu menjawab soalan asal, Fadillah berkata, kadar tarif elektrik dalam jadual baharu di Semenanjung tidak lagi berdasarkan aktiviti ekonomi, sebaliknya mengikut tahap sambungan voltan.
Menurutnya, ia bagi memastikan pengguna bukan domestik dikenakan kadar tarif berdasarkan kos sebenar untuk membekalkan sumber elektrik kepada mereka.
"Bagi mengurangkan impak bil elektrik di samping menggalakkan amalan kecekapan tenaga dalam kalangan pengguna, kerajaan telah memperkenalkan insentif cekap tenaga.
"Pengguna domestik diberikan terus dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dan PMKS yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
