[VIDEO] 90 peratus rakyat guna BUDI95 kurang 200 liter sebulan - Anwar

KUALA LUMPUR - Kira-kira 90 peratus rakyat di negara ini didapati menggunakan kurang daripada dua pertiga kuota 300 liter sebulan di bawah subsidi petrol RON95 Budi Madani (BUDI95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data menunjukkan penggunaan subsidi berkenaan sekitar 100 liter sebulan sejak ia dilaksanakan pada September lalu.
"BUDI95 merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau sehingga 96 juta transaksi sebulan, bukti bahawa urusan membeli RON95 bersubsidi kekal lancar.
"Had 300 liter sebulan untuk RON95 bersubsidi juga dilihat mencukupi untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan dan 90 peratus pengguna tidak menggunapun lebih daripada 200 liter sebulan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang memintanya menyatakan jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang tahun 2025 dan unjuran penjimatan bagi tahun 2026.
Di bawah program Budi95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah pentadbiran Madani, kerajaan memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringlat secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Setelah kejayaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel tanpa membebankan rakyat katanya, penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya dilaksanakan.
"Kerajaan tidak menerima saranan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi untuk mengapungkan harga yang disusuli bantuan tunai hanya kepada rakyat miskin.
"Pendekatan berteraskan teori ekonomi konvensional tidak mengambil kira realiti cabaran sara hidup dihadapi tidah hanya rakyat miskin, malah golongan pertengahan. Sekiranya dituruti saranan Bank Dunia, kadar inflasi melonjak naik dan menambah beban sara hidup rakyat," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada dua pertiga kuota 300 liter sebulan subsidi petrol RON95 Budi Madani
- Subsidi petrol Budi95 mencatat purata 3.1 juta transaksi sehari, menunjukkan kekal lancarnya pembelian RON95 bersubsidi
- Penggunaan purata subsidi petrol ialah sekitar 100 liter sebulan, dengan 90 peratus pengguna tidak melebihi 200 liter sebulan
- Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak untuk subsidi petrol Budi95 hingga 300 liter sebulan
- Kerajaan memilih untuk menyasarkan subsidi secara berfasa dengan pertimbangan realiti sara hidup tanpa hanya mengikuti saranan Bank Dunia untuk mengapungkan harga dan memberi bantuan tunai kepada golongan miskin sahaja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


