Sempadan: Kompromi keselamatan atau keputusan strategik

Sempadan negara merupakan lambang kedaulatan, benteng pertama keselamatan, dan penentu maruah sesebuah negara.Gambar hiasan. Foto kecil: Rushdan Rusmi
Sempadan negara merupakan lambang kedaulatan, benteng pertama keselamatan, dan penentu maruah sesebuah negara.Gambar hiasan. Foto kecil: Rushdan Rusmi
A
A
A

SEMPADAN negara bukan sekadar sempadan geografi. Ia adalah lambang kedaulatan, benteng pertama keselamatan, dan penentu maruah sesebuah negara.

Namun, realiti di lapangan terutamanya di kawasan sempadan seperti Padang Besar, Wang Kelian dan Lokasi sempadan yang lain memperlihatkan betapa kita masih jauh ketinggalan dalam soal keselamatan sempadan yang moden dan menyeluruh.

Jika dahulu sempadan digugat oleh pencerobohan tentera, hari ini bentuk ancaman lebih licik dan kompleks.

Penyeludupan manusia, dadah, senjata api, barang bersubsidi, hasil bumi dan unsur keganasan kini berlaku dengan kekerapan membimbangkan.

Sindiket jenayah rentas sempadan menggunakan sistem komunikasi moden, dron, dan taktik taktikal yang menyukarkan penguatkuasaan konvensional.

Di Padang Besar sahaja, cubaan pencerobohan yang meningkat. Ancaman bukan lagi bersifat fizikal semata-mata.

Ia kini melibatkan dimensi digital dan elektromagnetik iaitu suatu bentuk peperangan senyap dan cara baharu yang tidak lagi boleh diabaikan.

Sistem yang masih ketinggalan

Majoriti pos kawalan sempadan kita masih bergantung pada rondaan manual. Kemudahan seperti kamera inframerah, radar permukaan atau sistem pengesanan gerakan sangat terhad bahkan ada yang langsung tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pos penting di utara dan timur Sabah masih bergelut dengan kekangan logistik, sambungan komunikasi yang lemah, dan tiada capaian internet yang selamat. Saya sendiri pernah melawat.

Apa yang lebih mengejutkan ialah tiadanya satu sistem kawalan sempadan nasional yang benar-benar bersepadu. Agensi seperti PDRM, ATM, APMM, Imigresen dan Kastam masih beroperasi dalam silo masing-masing.

Setahu saya, Projek National Border Security System (NBSS) yang pernah diumumkan juga belum dilaksanakan sepenuhnya.

Pertindihan frekuensi, ancaman dalam diam

Isu yang lebih halus, tetapi sangat kritikal, ialah soal kedaulatan spektrum frekuensi di kawasan sempadan. Di Padang Besar, berlaku gangguan isyarat daripada sistem komunikasi negara jiran yang menjejaskan kestabilan rangkaian tempatan baik komersial mahupun keselamatan.

Radar pertahanan negara masih menggunakan sistem S-Band (2.9–3.2 GHz), iaitu julat frekuensi yang semakin padat dengan penggunaan 5G dan sistem komunikasi awam seperti Wi-Fi dan Bluetooth.

Hal ini menyebabkan risiko gangguan elektromagnetik (EMI), pencemaran spektrum, dan yang paling merisaukan adalah gangguan terhadap radar pertahanan udara itu sendiri.

Lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa sebuah radar utama negara di selatan Semenanjung pernah diarahkan untuk ‘power down’ kerana mengganggu rangkaian komunikasi Singapura. Ini pernah saya bangkitkan di parlimen.

Radar yang menjadi ‘mata’ negara ini masih menggunakan sistem S-Band iaitu teknologi lama yang kini semakin ketinggalan zaman dalam dunia pertahanan moden.

Lebih membimbangkan, sistem ini berada terlalu hampir dengan spektrum 5G yang sedang berkembang pesat di Malaysia dan Singapura.

Bukan itu sahaja, radar S-Band memerlukan lebih banyak tenaga elektrik untuk mencapai jarak pengesanan yang setara dengan radar L-Band, sekaligus memberi kesan kepada kos operasi serta kebolehpercayaan sistem dalam jangka masa panjang.

Peperangan elektronik – Senjata abad ini

Dalam konflik moden seperti di Gaza dan Ukraine, senjata awal yang dilancarkan bukan peluru berpandu, tetapi gangguan isyarat. Jamming radar, spoofing GPS, dan serangan siber kini menjadi pembuka tirai setiap konflik bersenjata.

Radar S-Band yang Malaysia gunakan kini mudah dijejak, dijam dan tidak berkeupayaan mengesan pesawat halimunan. Negara jiran kita pun telah lama beralih kepada radar L-Band atau multifrequency AESA (Active Electronically Scanned Array).

Malaysia pula, masih bergantung pada sistem lama dengan pelaburan yang lebih didorong, maaf saya nyatakan, bukan keperluan pertahanan sebenar.

Malaysia perlu berhenti menangguh keputusan penting atas nama “masih mencukupi untuk sekarang.” Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kelewatan bermakna kelemahan.

Negara perlu melaksanakan pelan peralihan ke arah sistem keselamatan sempadan dan radar udara yang moden, tahan gangguan dan boleh disesuaikan dengan senario ancaman hibrid.

Antara cadangan segera:

1. Mempercepatkan pelaksanaan National Border Security System (NBSS) yang pernah diumumkan, namun masih belum mencapai tahap pelaksanaan penuh yang menyeluruh dan bersepadu antara agensi.

2. Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang tidak terikat pada silo jabatan sedia ada.

3. Penyelarasan spektrum frekuensi antara Kementerian Komunikasi, MINDEF dan agensi keselamatan agar tiada konflik teknikal di medan sebenar.

4. Peralihan dari radar S-Band kepada radar L-Band/Multi-band AESA yang lebih selamat dan tahan gangguan.

Jangan tunggu tragedi

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa sempadan yang lemah menjadi pintu masuk kepada pengganas, penyeludupan, pencemaran budaya dan kemerosotan ekonomi tempatan.

Kita tidak mahu insiden seperti kehilangan MH370 di ruang udara kembali berulang di daratan atau sempadan laut kerana kelemahan sistem.

Malaysia kini berada di persimpangan sama ada kita terus bertangguh dan mempertaruhkan kedaulatan, atau kita bergerak berani membina sistem pertahanan dan sempadan.

Pilihan ini bukan soal bajet, tetapi soal maruah negara!

*Rushdan Rusmi ialah Ahli Parlimen Padang Besar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!