Cubaan seludup ganja RM690,000 di sempadan negara gagal

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja dalam satu guni bernilai anggaran RM690,000 di sempadan negara dalam kejadian 5 pagi Isnin.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, guni terbabit disyaki mengandungi dedaun kering bunga ganja seberat kira-kira 23 kilogram dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Malaysia.
Menurutnya, kejadian disedari sepasukan pegawai dan anggota daripada Kompeni C Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis setelah berjaya mengesan pergerakan di KTJ Pos BKC 7 berdasarkan maklumat rakaman kamera litar tertutup.
"Hasil pemeriksaan kawasan sekeliling telah menjumpai satu guni berwarna-warni mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis bunga ganja," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, guni tersebut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Dalam pada itu, katanya, siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 18 Pasukan Gerakan Am masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah.
Jelasnya, Briged Utara PGA akan komited mempergiatkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara terutama di Perlis dan Kedah.
"Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya melibatkan penyeludupan di sepanjang sempadan utara negara.
"Masyarakat dan pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang- undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

