Jurutera, penolong antara lima kakitangan PBT direman tujuh hari kes rasuah

Antara individu dibawa ke Mahkamah Sandakan untuk perintah reman bagi bantu siasatan SPRM.
Antara individu dibawa ke Mahkamah Sandakan untuk perintah reman bagi bantu siasatan SPRM.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jurutera dan penolong jurutera antara lima kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan rasuah melibatkan kira-kira RM200,000 daripada beberapa kontraktor sejak 2022.

Perintah reman bermula Rabu hingga 23 Julai itu dikeluarkan oleh Majisteret Yong Ching Hong terhadap lima individu melibatkan tiga lelaki dan dua wanita berusia sekitar 30 hingga 50-an selepas permohonan reman dibuat oleh pihak SPRM di Mahkamah Sandakan.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung aktiviti rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di PBT berkenaan.

Sebelum itu, kelima-lima suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 7 malam Selasa.

Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai telah menerima wang rasuah secara pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing sejak tahun 2022 hingga kini daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja di tempat mereka berkhidmat.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender melibatkan kerja-kerja di PBT berkenaan dari tempoh 2022 hingga 2025.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy Ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!