Majlis hari jadi bertukar tragedi, bapa tembak mati anak guna senjata buatan sendiri

Sambutan hari ulang tahun kelahiran yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditembak oleh bapanya menggunakan senapang buatan sendiri.
Sambutan hari ulang tahun kelahiran yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditembak oleh bapanya menggunakan senapang buatan sendiri.
A
A
A

INCHEON – Sambutan hari ulang tahun kelahiran yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditembak oleh bapanya menggunakan senapang buatan sendiri.

Lebih memilukan, tragedi menyanyat hati tersebut berlaku ketika majlis yang dianjurkan khas oleh mangsa untuk bapanya.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, kejadian berkenaan berlaku pada jam 9.31 malam, Ahad di sebuah pangsapuri di Incheon, barat Seoul.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an ditembak dua kali pada bahagian dada semasa majlis yang turut dihadiri isterinya, dua anak mereka serta beberapa rakan.

Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan sebelum menahan suspek berusia 63 tahun awal pagi Isnin.

Polis berkata, senjata yang digunakan suspek adalah dalam bentuk paip yang diubah suai menjadi senapang, motif kejadian masih dalam siasatan.

Lebih membimbangkan, pasukan khas dari Agensi Polis Metropolitan Seoul yang menjalankan siasatan lanjut ke rumah suspek di Daerah Dobong, utara Seoul menemui 15 peranti letupan buatan sendiri yang berjaya dimatikan dengan selamat.

Salah satu peranti tersebut disambungkan kepada botol plastik berisi cecair mudah terbakar dan telah ditetapkan untuk meletup pada tengah hari Isnin.

Artikel Berkaitan:

Selain dua senjata yang digunakan dalam kejadian tembakan itu, polis turut menemui sembilan lagi senjata buatan sendiri di dalam kenderaan suspek serta sekurang-kurangnya lima batang paip logam di kediamannya.

Dalam masa sama, suspek memaklumkan kepada penyiasat bahawa terdapat bahan letupan di rumahnya, menyebabkan pihak berkuasa bertindak segera dengan memindahkan 105 penduduk dari bangunan tersebut sebelum menjalankan operasi pemeriksaan dan pelupusan.

Polis kini sedang menyiasat motif di sebalik pembunuhan tersebut dan bagaimana suspek boleh menghasilkan senjata dan bahan letupan dalam jumlah sedemikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!