Konvoi makan malam bertukar tragedi, tiga pelajar maut, dua parah

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Seremban, Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan motosikal yang terlibat.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Seremban, Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan motosikal yang terlibat.
A
A
A

SEREMBAN - Konvoi sekumpulan motosikal bertukar tragedi selepas tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan(Plus) arah utara di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika kumpulan pelajar kolej berusia antara 18 hingga 20-an itu dalam perjalanan pulang selepas makan malam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu membabitkan 15 motosikal yang ditunggang secara berkumpulan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur.

Beberapa motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM262.5 lebuh raya Plus.
Beberapa motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM262.5 lebuh raya Plus.

"Siasatan mendapati, motosikal ini bergerak secara berkumpulan di lorong tengah dan kanan.

"Sebaik sampai di tempat kejadian, tiga motosikal dalam kumpulan itu yang berada di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke atas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan 12 buah motosikal lain yang sedang bergerak dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar tiga buah motosikal tersebut.

Jelas beliau, ia sekali gus mengakibatkan semua yang terlibat turut terjatuh di atas jalan dan pada masa sama, sebuah kereta serta sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 buah motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Seremban, Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan motosikal yang terlibat.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Seremban, Mohd Hafidzal Zainal Abidin menunjukkan motosikal yang terlibat.

"Akibatnya, dua penunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan seorang penunggang motosikal jenis tidak pasti telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seramai 12 lagi penunggang yang lain telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut yang mana dua daripadanya cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) hospital sama," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Mohamad Hatta berkata, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

*Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!