Segera batal BNPL sebelum lebih ramai tenggelam dalam hutang - Perunding kewangan

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya menyekat atau mengharamkan transaksi ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) dalam platform e-dagang.
Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan lebih ramai rakyat tenggelam dalam hutang, yang akhirnya berpotensi menambahkan lagi beban kewangan mereka.
Menurutnya, BNPL bukan penyelesaian kepada kos sara hidup, sebaliknya merupakan penjerat baharu kepada hutang isi rumah.
“Kalau benar kerajaan mahu bela rakyat, BNPL dalam talian perlu dibatalkan segera sebelum lebih ramai yang tenggelam dalam hutang yang memiskinkan lagi rakyat.
“Mohon kepada penjawat awam yang ada jawatan dan kuasa, sampaikan kepada Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan.
“Saya bersedia hadir untuk memberi pandangan kepada kerajaan mengenai apa yang perlu dilakukan dan dihalang demi masa depan kewangan rakyat yang lebih tenang dan senang, insya-ALLAH,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar Shamsuddin, platform BNPL yang wujud pada masa ini sedang merosakkan kewangan rakyat secara senyap.
Menurutnya, masih ramai dalam kalangan masyarakat belum mencapai tahap kecelikan kewangan minimum di negara ini.
“Majoriti masih tidak mampu mengurus belanja asas, apatah lagi berhutang untuk barangan yang tidak kritikal.
“BNPL kini menjadi perangkap halus bagi mereka yang lemah kawalan diri dan mudah terpengaruh dengan iklan.
“BNPL bukan penyelamat. Ia racun perlahan bagi rakyat yang hidup dari gaji ke gaji,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

