Terbukti hubungan songsang bawa musibah, kenapa degil

PERBUATAN hubungan sejenis bukan perkara baharu dalam sejarah manusia. Dalam al-Quran, ALLAH sudah menceritakan tentang kaum Nabi Lut yang dilaknat kerana terjebak dengan amalan yang melanggar fitrah ini.
Akhirnya, kaum itu dihancurkan dengan azab yang pedih sebagai peringatan kepada umat manusia hingga hari ini.
Namun malangnya, seolah-olah kisah itu hanya tinggal cerita. Hari ini, kita melihat semakin ramai yang memilih jalan yang sudah jelas songsang.
Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan generasi muda yang bangga mempamerkan kecenderungan yang salah itu di media sosial, seolah-olah tidak takut dengan dosa.
Perlu diingat, ALLAH melarang hubungan sejenis bukan sekadar untuk menjaga akhlak, tetapi untuk menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat.
Banyak kajian perubatan membuktikan hubungan sejenis meningkatkan risiko penularan penyakit berbahaya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), komuniti lelaki yang melakukan hubungan sejenis (MSM) menyumbang peratusan tertinggi kes HIV/AIDS di seluruh dunia.
Di Malaysia, menurut data Kementerian Kesihatan, lebih 70 peratus kes jangkitan HIV baharu sejak 2021 berpunca daripada hubungan seksual, dengan lebih separuh melibatkan hubungan sejenis.
Selain HIV, golongan ini juga berisiko tinggi mendapat penyakit lain seperti sifilis, gonorea, herpes, HPV dan hepatitis B & C.
Penyakit ini bukan hanya membahayakan diri sendiri, tetapi juga pasangan lain dan masyarakat keseluruhan.
Malah, dari sudut psikologi, banyak kajian membuktikan golongan yang terjebak dengan gaya hidup songsang lebih mudah mengalami kemurungan, keresahan dan tekanan perasaan akibat konflik dalaman dan penolakan sosial.
Kepada generasi muda Malaysia, hentikanlah perbuatan yang hanya mengundang murka ALLAH ini. Jangan gadaikan maruah diri semata-mata mahu mengejar nafsu yang songsang.
Negara ini dibina atas asas agama, adat dan budaya yang luhur. Janganlah kita jadi generasi yang meruntuhkan tembok peradaban itu hanya kerana menurut hawa nafsu.
Ingatlah, hidup di dunia ini hanya sementara. Apa maknanya nikmat sesaat jika di akhirat kelak kita dihumban ke dalam azab yang kekal? Masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah sebelum pintu taubat tertutup.
Pilihlah jalan hidup yang diredai ALLAH dan masyarakat, bukan jalan songsang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
