Op Metal: Nilai sitaan, pembekuan akaun kini lebih RM332 juta

Pasukan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ketika melakukan serbuan dalam operasi khas ‘Ops Metal’ di tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak. Foto Bernama
Pasukan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM ketika melakukan serbuan dalam operasi khas ‘Ops Metal’ di tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan 27 saksi susulan operasi membanteras sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa buangan elektronik (e-waste) di lima negeri baru-baru ini.

Sindiket tersebut dipercayai membayar rasuah kepada pihak penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport yang dianggarkan mencecah lebih RM950 juta.

Menurut sumber, antara individu yang dipanggil termasuk seorang suspek utama yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan haram berkenaan.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, namun siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti semua yang terlibat.

“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dan pembekuan akaun kini mencecah lebih RM332 juta sejak operasi dilancarkan,” katanya pada Isnin.

Menurutnya lagi, sebanyak 324 akaun perbankan telah dibekukan setakat ini, melibatkan 142 akaun syarikat dan 182 akaun individu dengan nilai hampir RM150 juta.

“SPRM turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM183 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan perkembangan tersebut.

“SPRM masih dalam proses mengenal pasti suspek yang terlibat secara langsung dengan sindiket terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan turut melibatkan aliran kewangan suspek dan syarikat yang terlibat dengan kerjasama agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa SPRM telah menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta menerusi serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri.

Op Metal itu dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM secara bersepadu dengan kerjasama JKDM, LHDN dan BNM.

Sebanyak 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu, melibatkan nilai kira-kira RM51 juta, telah dibekukan.

Menurut sumber, aset yang disita melibatkan lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit penthouse di Tanjung Tokong, satu lot kedai di Bayan Lepas, serta 12.5 hektar tanah di Nibong Tebal, 2.87 hektar tanah di Batu Uban, 2.27 hektar tanah di Juru dan lebih 793.4 hektar ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!