Bagai sirih pulang ke gagang

SENTUHAN RAKYAT

A
A
A

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan kembali Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ibarat Bagai Sirih Pulang ke Gagang.

Warga menara gading amat berterima kasih dan menyanjung tinggi usaha memberikan focus dan peruntukan khas kepada sektor pengajian tinggi di samping memperkasakan Kementerian Pendidikan (KP). Potfolio ini dianggap bertepatan dengan situasi komplikasi dalam menguruskan dua bidang pendidikan.

Kewujudan kembali KPT diharap menjana kecemerlangan serta kegemilangan universiti awam dan swasta agar lebih menyerlah pada masa akan datang. Dengan peningkatan dan ledakan teknologi dengan cepat dan terkini, memerlukan tumpuan khas untuk mewujudkan environmen pembelajaran.

Langkah itu dibuat selaras dengan usaha untuk memenuhi keperluan semasa. Buat masa kini landskap pengajian tinggi mengalami pelbagai perubahan sejajar evolusi semasa. Perubahan dalam era Revolusi Industri 5.0 harus diberikan tumpuan khas mengikut standard terkini. Dalam masa yang sama landskap pengajian tinggi negara perlu bersedia menerima perubahan pesat ini.

Sebenarnya KPT dilahirkan pada tahun 2004, untuk mengawasi pendidikan pengajian tinggi. Namun KPT telah bergabung semula bersama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membentuk Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2013.

KPT 2020 diyakini akan memberi penumpuan khusus kepada pengajian tinggi dan kepimpinan baharu. Menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad dilihat mampu melonjakkan kementerian, khususnya universiti awam dalam negara dan swasta sebagai hub pendidikan terkemuka di dunia.

Dalam dunia sektor pendidikan, institusi pengajian tinggi (IPT) banyak memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah bandar dan wilayah. IPT merupakan salah satu medan kepada masyarakat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan untuk memberi impak positif kepada masyarakat setempat iaitu melahirkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani pada tahap kesempurnaan.

Terdapat terma ekonomi pengalaman yang diwujudkan oleh Pine dan Gilmore (1998). Ekonomi pengalaman ditentukan berdasarkan The Four Realms yang terbahagi kepada empat elemen iaitu pendidikan, hiburan estetika dan escapist. Dalam konteks sektor pendidikan, elemen-elemen ekonomi pengalaman dilihat dapat memajukan lagi perkhidmatan sektor ini.

Artikel Berkaitan:

Menyedari kepentingan pengajian tinggi negara bergerak ke hadapan bersama-sama perubahan pesat ini, pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai hab pendidikan pengajian tinggi di rantau ini.

Perubahan

Antara perubahan ketara pada landskap pendidikan tinggi adalah dari segi pemerkasaan graduan yang multi-talented, multi-skilling dan versatile. Graduan yang dihasilkan perlu memenuhi kebolehpasaran di dalam dan luar negara.

Perubahan dalam pembentukan sahsiah graduan di pusat pengajian tinggi amat berbeza berbanding sebelumnya. Graduan telah dilantik sebagai ahli Senat Universiti dan diberi peluang dalam membentuk acuan pendidikan. Perubahan positif di Malaysia menjadi penanda aras bagi negara lain.

Graduan universiti didaya upaya mengurus pilihan raya kampus. Beberapa perubahan klausa 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berkaitan pelajar berpersatuan, melonjak keupayaan pelajar sejak dalam kampus lagi.

Graduan kini dibenar menubuhkan kesatuan pelajar. Malahan mereka juga diberikan peruntukan dan bangunan khas untuk kesatuan.

Perubahan ini pastinya memberi ruang lebih matang, berdikari, berfikiran kritikal dan mampu menyumbang kepada negara sebaik bergraduat. Tindakan memansuhkan AUKU juga dilihat langkah yang menyokong pemerkasaan penuntut universiti.

Perubahan dan penambahbaikan dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada penuntut universiti. Pensyarah universiti awam juga melalui cadangan pengecualian dalam Akta 605. Sebelum ini, Akta 605 menyatakan pensyarah di universiti tidak mempunyai kebebasan bersuara, membuat kenyataan, menerbit dan mengedit.

Klausa dalam Akta 605 dipandang menyekat kebebasan pensyarah. Oleh itu, sejajar perubahan semasa, kementerian perlu mengkaji klausa dalam Akta 605 yang memerlukan pengecualian.

Dalam dunia akademik, pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, hubungan industri dan sumbangan kepada masyarakat. Tugas utama cendekiawan dan sarjana bukan sahaja dalam lingkaran kampus sahaja. Namun turut menyumbang dalam membangunkan bakat bagi menyemarakkan lagi ekonomi negara.

Menyedari kepentingan ini, program Service Learning Malaysia Universiti for Society (SULAM). SULAM adalah satu inisiatif yang memberi pengalaman pembelajaran dengan menghubungkaitkan teori dan praktis dengan mendedahkan pelajar kepada penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti. Contohnya SULAM Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA berkongsi dan memindahkan ilmu kemahiran berkomunikasi di beberapa buah sekolah menengah.

Untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dan memberi pengalaman industri, program berbentuk ‘apparentis’ juga diperkenalkan bagi memberi ruang kepada graduan menjalani latihan praktikal di industri lebih lama daripada biasa.

Malaysia juga terbukti berjaya menyahut cabaran positif dengan peningkatan dalam kedudukan di QS World University Rankings 2020 yang cukup membanggakan. Kembalinya KPT ini juga mampu menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Namun yang paling penting KPT era baharu ini mestilah memfokuskan kepada perkara yang memberi impak kepada kewibawaan dan kesarjaaan graduan yang dihasilkan, serta sumbangan kepada ilmu dan masyarakat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara