'Rindu untuk bertemu ibu kandung tak pernah hilang'

KEPALA BATAS – Hampir empat dekad menanggung rindu, seorang wanita masih berharap dipertemukan semula dengan ibu kandung yang terpisah sejak kecil.
Shahrida Majid, 43, berkata, dia dimaklumkan bahawa ibunya yang hanya dikenali sebagai Normah melahirkannya di Hospital Taiping ketika berusia 24 tahun sebelum menyerahkannya kepada keluarga angkat.
"Saya diberitahu bahawa selepas dilahirkan, saya diserahkan kepada keluarga angkat yang tinggal di rumah setinggan Jalan Keretapi dekat Jalan Muzium Hulu, Taiping, Perak.
"Ibu dan bapa angkat saya, Zaiton Ibrahim dan Majid Muhamad menjaga saya sehingga berusia empat tahun sebelum hubungan kami terputus kerana keluarga angkat berpindah ke Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Menurut Shahrida, dia sempat bertemu dengan ibu kandungnya sekali sahaja ketika berusia empat tahun apabila wanita itu datang ke rumah keluarga angkatnya di Taiping.
"Selepas berpindah ke Kuala Lumpur, saya tidak lagi berjumpa dengan ibu. Saya difahamkan bahawa ibu pernah cuba mencari saya tetapi gagal kerana rumah setinggan yang kami diami dahulu telah dirobohkan.
"Saya membesar di Kuala Lumpur hingga berkahwin. Selepas kematian suami dua tahun lalu, saya pulang ke Taiping dan kini menetap di Rantau Panjang, Kepala Batas selepas berkahwin kali kedua," katanya.
Shahrida berkata, dia percaya ibu kandungnya masih hidup dan kini berusia dalam lingkungan 60-an.
"Saya masih berharap untuk bertemu ibu sebelum terlambat.
"Jika ada sesiapa yang mengenali ibu saya atau mempunyai maklumat mengenainya, boleh hubungi saya di talian 019-7490783 atau suami saya, Ibrahim Md Desa di 011-57148658," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

