Covid-19: Pemimpin DAP 'mengurung diri' di rumah

Wong Ling Biu
Wong Ling Biu
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin DAP masih 'mengurung diri' di rumah susulan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19 semalam.

Menurut Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, kali terakhir beliau berjumpa dengan Ling Biu pada 1 Mac lalu bersama anggota Parlimen Pakatan Harapan yang lain.

"Tempoh kuarantin saya berakhir pada hari ini (15 Mac) tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, saya (masih) mengurung diri untuk tempoh satu minggu lagi," kata ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang dihubungi pula menjelaskan tempoh kuarantin bagi dirinya sudah berakhir dan beliau tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Perjumpaan saya dengan Yang Berhormat Sarikei (Ling Biu) adalah pada Mac 1 seperti yang dijelaskan oleh KM (Ketua Menteri) Pulau Pinang,

"Selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri, tiada keperluan dikuarantin kerana lebih daripada 14 hari sejak kami berada di bilik mesyuarat yang sama.

"Saya juga tidak menunjukkan gejala ketika tempoh itu," katanya bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu daripada DAP telah dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong ketika dihubungi media mengesahkan Ling Biu telah dimasukkan ke hospital sebagai PUI.

Ling Biu yang masih ditahan di hospital, dikatakan telah menghadiri beberapa mesyuarat politik di Kuala Lumpur dari 29 Februari hingga minggu lepas susulan kemelut politik yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew ketika dihubungi memaklumkan Ling Biu bukanlah dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 sebaliknya radang paru-paru. Hospital kini menahannya sebagai PUI.