OKU rugi lebih RM500,000 terpedaya tawaran kerja palsu

Mangsa membuat sebanyak 41 transaksi sebelum merasakan dirinya ditipu. Gambar kecil: Mohd Alwi
Mangsa membuat sebanyak 41 transaksi sebelum merasakan dirinya ditipu. Gambar kecil: Mohd Alwi
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 45 tahun mengalami kerugian sebanyak RM523,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja tidak wujud menerusi aplikasi TikTok.

Mangsa yang bekerja sebagai pembuat kek di sebuah kedai sekitar bandar ini menerima tawaran tersebut menerusi mesej di WhatsApp daripada seorang wanita tidak dikenali pada Disember tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek menawarkan mangsa peluang menjual barangan permainan kanak-kanak secara dalam talian dengan janji keuntungan antara 10 hingga 15 peratus.

“Mangsa bersetuju dengan tawaran itu dan diminta membuat pembayaran bagi menampung kos barangan yang kononnya ditempah pelanggan.

“Sepanjang tempoh 18 Disember 2024 hingga 14 Julai tahun ini, mangsa membuat sebanyak 41 transaksi pemindahan wang melalui mesin deposit tunai (CDM) ke lima akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM523,350,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, sebaliknya suspek terus meminta bayaran tambahan sehingga menimbulkan syak bahawa dirinya telah ditipu.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 18 Julai bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran kerja daripada individu tidak dikenali, terutamanya menerusi WhatsApp atau media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Agensi pekerjaan yang sah tidak akan meminta sebarang bayaran pendahuluan.

"Semakan boleh dibuat melalui pautan semakmule.rmp.gov.my atau balai polis berhampiran,” jelasnya.

Mohd Alwi turut berkata, menyebarkan mesej kesedaran tentang jenayah komersial adalah amat penting agar masyarakat tidak terus menjadi mangsa.

“Jenayah penipuan dalam talian boleh dicegah sekiranya masyarakat peka dan sentiasa berwaspada.

"Setiap individu perlu memainkan peranan sebagai penyampai maklumat untuk mewujudkan komuniti yang lebih selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!