[VIDEO] Lima beradik yatim piatu sekelip mata akibat pemandu mabuk
PASIR GUDANG - Aidilfitri kali ini tidak lagi sama buat lima beradik di Flat Taman Cendana di sini selepas ibu bapa mereka maut dirempuh kereta dipercayai dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol pada November tahun lalu.
Kelima-lima beradik itu ialah Nur Aleesha Aindah Abdullah, 18, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish, 16; Nur Shahkira, 15; Nur Shahmira, 13; dan Nur Aisyah Humairah, 4.
Anak-anak kepada pasangan Allahyarham Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 38, dan Linda Mohd A Aziz, 36, itu kini dijaga oleh datuk dan nenek, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61, dan Ramlah Kasiran, 57, yang turut menetap di flat berkenaan.
Biarpun kehidupan mereka berubah sekelip mata, kasih sayang dan pengorbanan datuk serta nenek menjadi kekuatan buat lima beradik itu meneruskan kehidupan.

Menurut Muhammad Ikmal, bagi mengubati rasa rindu, mereka adik-beradik tidak pernah lupa menziarahi pusara ibu ayah setiap minggu.
“Kami akan ke pusara ibu dan ayah di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai. Di situ tempat kami adik beradik luah rasa rindu terhadap ibu dan ayah.
“Paling sebak apabila adik bongsu, Nur Aisyah sebut dia rindu ibu, ayah dan cium batu nisan. Saya akan peluk adik untuk tenangkan dia,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah Muhammad Ikmal, dia masih merindui suara lembut ibunya mengejutkan adik-adik bangun untuk bersahur.

“Ibu selalu kejut kami adik beradik bangun untuk sahur tetapi kali ini, tiada lagi suara lembut ibu. Saya menangis setiap kali bangun sahur.
“Asam pedas ikan pari dan kuih donat merupakan menu kegemaran kami sekeluarga dan sering disediakan ibu ketika berbuka puasa.
“Ayam masak merah dan kuah lodeh pula menjadi hidangan istimewa air tangan ibu pada pagi raya. Nenek ada beritahu akan masakkan ayam masak merah pada pagi raya nanti tetapi kami tetap rindu air tangan ibu,” ujarnya.

Muhammad Ikmal turut berkongsi kisah gembira mereka sekeluarga beraya mengenai pakaian sedondon berwarna hitam pada Aidilfitri tahun lalu.
“Nenek dan datuk tinggal di flat yang sama cuma berlainan blok sahaja. Kami sekeluarga pergi berjalan kaki ke rumah nenek,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!