Gencatan senjata serta-merta di Sweida

DAMSYIK - Pejabat Presiden interim Syria, Ahmed al-Sharaa mengumumkan gencatan senjata serta-merta di Sweida pada Sabtu.
Pengumuman itu dibuat ketika pasukan keselamatan dalaman mula ditempatkan di wilayah didiami majoriti puak Druze di bawah perjanjian damai diuruskan Amerika Syarikat (AS) bersama Israel.
"Kami menggesa kesemua pihak agar mematuhi tempoh bertenang itu dan komited untuk menghentikan permusuhan di seluruh bandar selatan tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.
Kesepakatan untuk meredakan keganasan sektarian itu dibuat beberapa hari selepas insiden pertumpahan darah di kawasan didiami komuniti Druze yang telah meragut lebih 700 nyawa.
Campur tangan Israel yang melancarkan kempen serangan ke atas Damsyik turut mencetuskan kebimbangan jika Syria berisiko menjadi 'Lubnan kedua'.
Duta AS ke Turkiye, Tom Barrack yang juga wakil utama Washington dalam isu Damsyik memaklumkan perjanjian damai itu turut disokong Ankara dan Jordan.
"Kami menyeru puak Druze, Bedouin dan Sunni supaya meletak senjata serta bersama-sama minoriti lain untuk membina identiti baharu Syria dan bersatu untuk kemakmuran serta keamanan," menurutnya di platform X.
Pada awal minggu lalu, pasukan tentera kerajaan dikerahkan ke Sweida bagi meredakan pertempuran ganas itu, namun mereka didakwa sengaja menyasarkan puak Druze hingga mengundang intervensi Israel yang menjadikan alasan kononnya mahu melindungi komuniti minoriti tersebut.
Kepimpinan baharu Syria dilihat terpaksa akur dengan arahan AS dan Israel selepas Washington menggunakan pendekatan lebih lembut termasuk menarik balik siri sekatan yang dikenakan ketika pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

