Dua anggota polis didakwa minta, terima rasuah

A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lans koperal dan seorang konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Nurulkiflee Abdul Shukor, 27, dan Mohd Ridzuan Sedali, 28, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama meminta suapan RM300 daripada seorang suspek sebagai dorongan supaya tidak menjalankan ujian saringan air kencing dan memulangkan semula kad pengenalan suspek yang ditahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa setuju menerima jumlah suapan itu daripada suspek di Balai Polis Mawai, Kota Tinggi antara jam 9.30 malam dan 10 malam, 31 Mac 2016.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa meminta lagi suapan RM300 bagi tujuan dan di tempat yang sama pada jam 4.40 petang, 1 April 2016.

Bagi semua perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) akta sama serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 selain dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 atau mana-mana nilai yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, kedua-dua mereka turut didakwa bagi pertuduhan pilihan menerima suapan RM300 dengan tiada balasan daripada suspek itu pada 1 April 2016.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes selain membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan RM15,000 setiap seorang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Asram Zakaria.