Mesyuarat khas Covid-19 esok

Dr Adham bertanyakan sesuatu kepada kakitangan Jabatan Kesihatan yang bertugas bagi Covid-19 ketika melakukan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kurantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Dr Adham bertanyakan sesuatu kepada kakitangan Jabatan Kesihatan yang bertugas bagi Covid-19 ketika melakukan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kurantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan langkah seterusnya dalam menangani Covid-19 selepas jumlah kes positif jangkitan itu merekodkan peningkatan kepada 428 kes sehingga tengah hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas meninjau langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani penularan Covid-19 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Dr Adham berkata, berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, dari 27 Februari hingga 1 Mac lepas.

Dr Adham sebelum itu berkata, sebanyak 190 kes baharu dilaporkan positif Covid-19 setakat tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes baharu Covid-19 meningkat sehingga 190 orang

Beliau berkata, KKM mengambil langkah drastik terhadap jemaah dengan menggunakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir para jemaah menghadiri perhimpunan tabligh atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"KKM menyeru mereka yang berada di Masjid Sri Petaling supaya tampil menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

"Jika peserta perhimpunan tabligh berkenaan terus enggan tampil membuat pemeriksaan, KKM akan menggunakan akta itu bagi memaksa dan memburu peserta berkenaan," katanya.

Dalam masa sama, Dr Adham berkata, seramai 6.8 juta warga asing dan rakyat negara ini sudah disaring di semua pintu masuk Johor sejak 5 Januari lepas sehingga hari ini.

"Kita bersyukur tiada yang positif Covid-19 (daripada saringan) dan ini perkembangan yang sangat baik, maknanya kita boleh kekang kemasukan (Covid-19) dari luar negara," katanya.

Dr Adham dalam masa sama turut menegaskan mana-mana premis yang didapati terdapat individu disahkan dijangkiti Covid-19 boleh menutup serta-merta premis mereka tanpa menunggu arahan KKM. - Bernama