500 ahli PKR Perlis umum keluar parti

Izhar (kiri) mengumpulkan borang keluar parti.
Izhar (kiri) mengumpulkan borang keluar parti.
A
A
A

ARAU - [VIDEO] Kira-kira 500 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perlis termasuk beberapa pemimpin cabangnya mengumumkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Menurut bekas Ketua PKR Cabang Arau, Izhar Kamarudin Sudin, keputusan ini diambil berikutan tidak puas hati dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang berlarutan sejak Oktober 2018 lagi.

Katanya, ahli akar umbi sudah tidak sanggup ditipu dengan ‘sandiwara’ di peringkat kepimpinan tertinggi yang disifatkan terlalu sibuk dengan agenda reformasi untuk menjadi Perdana Menteri.

Izhar turut mendakwa, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dari PKR yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Perlis membuat kenyataan sinis di Facebooknya yang mencabar ahli akar umbi untuk keluar parti.

"Itu yang menjadikan keretakan dalaman parti bertambah buruk," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas perhimpunan pengisytiharan keluar parti di Tambun Tulang, Arau, petang tadi.

Terdahulu, kesemua ahli akar umbi melakukan simbolik menanggalkan jaket berlogo PKR selepas mengumumkan keluar parti.

Bagaimanapun, kesemua mereka belum mengambil keputusan untuk menyertai parti lain dan hanya akan bergerak di bawah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penggerak Muafakat Nasional Negeri Perlis.

Kata Izhar, tindakan keluar parti itu sudah dimaklumkan kepada bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, kesetiaan mereka masih memihak kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan juga kerajaan baharu.