'Beban jubah itu lebih berat daripada emas' - Abang titip pesanan buat Wan Ahmad Farid

Wan Hisham
Wan Hisham
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Abang kepada Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh, menzahirkan pesanan penuh makna kepada adiknya, Datuk Wan Ahmad Farid susulan pelantikan beliau menerajui institusi kehakiman tertinggi negara.

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Wan Hisham mengingatkan bahawa tugas sebagai Ketua Hakim Negara bukan sekadar kenaikan pangkat, sebaliknya satu amanah berat yang menuntut integriti, keberanian dan kebijaksanaan luar biasa.

Menurutnya, jubah kehakiman yang dipakai bukan hanya lambang jawatan, tetapi membawa makna tanggungjawab besar terhadap undang-undang, maruah badan kehakiman serta harapan seluruh rakyat Malaysia.

"Jubah itu bukan sekadar kain; ia ditenun dengan abad keadilan, harapan jutaan rakyat, dan asas negara kita.

"Setiap kali memakainya, ingat, kau bukan lagi dirimu semata. Kau mewakili Undang-Undang, maruah kehakiman dan kepercayaan rakyat bahawa keadilan akan ditegakkan. Pikul tanggungjawab itu dengan rendah hati," tulisnya.

Dalam hantaran panjang berkenaan, Wan Hisham turut menitipkan lapan pesanan kepada adiknya, antaranya supaya sentiasa berpandukan Perlembagaan, menjunjung kebebasan kehakiman serta menjaga integriti diri dan institusi secara keseluruhan.

"Kau akan berdepan tekanan, daripada pihak berkuasa, pendapat umum, malah bisikan dalaman.

"Kompasmu hanyalah Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, dan prinsip perundangan. Keadilan bukan selalu apa yang rakyat mahu, tetapi apa yang undang-undang kehendaki," jelasnya lagi.

Wan Hisham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang dan bekas Exco Terengganu menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah benteng utama sistem perundangan negara dan perlu dipertahankan sepenuhnya daripada sebarang pengaruh luar.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan bahawa integriti perlu dijaga bukan sahaja di mahkamah, malah dalam setiap sudut kehidupan peribadi kerana setiap gerak-geri Ketua Hakim Negara akan sentiasa menjadi perhatian rakyat.

"Elakkan walau bayangan ketidakwajaran. Bersikap adil, telus dan beretika tanpa berbelah bagi. Satu kesilapan sahaja boleh menghancurkan kepercayaan rakyat yang dibina puluhan tahun," katanya lagi.

Tambah beliau, Ketua Hakim Negara kini bukan sekadar pemimpin badan kehakiman, bahkan simbol kestabilan dan harapan negara terhadap sistem keadilan yang bebas serta berwibawa.

"Kau simbol negara sekarang. Kata-katamu, tingkah lakumu, tindakanmu semuanya mencerminkan seluruh Institusi Kehakiman Malaysia," tulisnya.

Hantaran penuh emosi itu ditutup dengan kata-kata perangsang dan doa seorang abang kepada adik yang kini menggalas amanah besar negara.

"Sekarang pergi, adikku. Ukirkan namamu. Kami semua di belakangmu.

"Semoga ALLAH memimpin dan memberkati perjalananmu," tulis Wan Hisham.

Pelantikan Wan Farid sebagai Ketua Hakim Negara diumumkan pada Khamis selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara baharu, bersama-sama pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Ketiga-tiga mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai ini di Istana Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!