Kerajaan belum buat keputusan pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada membenarkan pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia atau sebaliknya.
Anwar berkata, perkara itu masih di peringkat awal dan akan diteliti mengikut proses yang sewajarnya.
“Soal Nick Adams itu, kita ikut proses. Masih terlalu awal. Kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan dan dalam masa sama menjaga hubungan baik antara Malaysia dan AS,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat di Surau Al-Istiqlal, Presint 14 di sini pada Jumaat.
Pencalonan Nick Adams oleh Presiden Donald Trump baru-baru ini telah mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak di negara ini termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan NGO pro-Palestin kerana latar belakangnya yang bersifat konservatif ekstrem serta kenyataan kontroversi terhadap Islam dan Palestin.
Media melaporkan Adams, 40, seorang warganegara AS yang berasal dari Australia, pernah mengecam usaha yang didakwa sebagai “mengajar subjek Islam di sekolah” dan menggambarkan mereka yang menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin sebagai penyokong keganasan.
Beliau juga terkenal dengan karakter lantang di media sosial dan diminati oleh golongan lelaki muda dalam ruang 'manosphere', iaitu satu ekosistem dalam talian yang membincangkan isu berkaitan lelaki.
Adams dikenali kerana kenyataan bersifat provokatif seperti menggelar dirinya sebagai 'lelaki alfa' dan memanggil Taylor Swift sebagai 'woke Jezebel' di media sosial.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyenaraikan minat terhadap hot dog, stik, dan rangkaian restoran Hooters yang terkenal dengan pakaian pelayan yang mencolok mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

