Protes bantah Nick Adams bermula di Kedutaan AS

KUALA LUMPUR – Himpunan dan penyerahan memorandum bantahan terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah bermula di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Beberapa wakil AMK dilihat berkumpul sebelum bergerak ke kawasan yang dikhaskan berhampiran kedutaan untuk menyerahkan memorandum rasmi sebagai tanda bantahan terhadap pencalonan aktivis konservatif itu.
AMK sebelum ini menyuarakan bantahan keras terhadap pencalonan Adams yang dikenali dengan kenyataan berbaur ekstrem kanan, anti-Islam dan anti-imigran disifatkan sebagai tidak menghormati nilai budaya serta sensitiviti rakyat Malaysia.

Nick Adams, seorang warga Australia-Amerika dan tokoh konservatif telah menerima kecaman meluas di Malaysia selepas namanya diumumkan sebagai calon Duta Amerika Syarikat. Pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kesesuaian pelantikannya.
Beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan pemimpin politik turut menyifatkan pencalonan tersebut sebagai tidak wajar dan berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik serta keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Pihak polis turut berada di lokasi bagi memastikan himpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

