Peniaga didakwa libas parang operasi roboh struktur haram

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melibas parang dalam satu operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiga hari lalu.
Izat Saini @ Zaini, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amira Abd Aziz.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah iaitu melibas parang, dengan niat menakutkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan anggotanya (koperal).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di simpang tiga, Jalan 4/76B, Desa Pandan, dekat sini pada jam 11.17 pagi, 15 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham sementara tertuduhdiwakili peguam, Fadhli Sutris.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret, Amira membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 September depan.
Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes membuat provokasi sambil memegang senjata serta memaki hamun anggota penguat kuasa DBKL.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim berkata, kejadian berlaku ketika pasukannya bersama penguat kuasa DBKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjalankan kawalan keselamatan bagi tindakan bersepadu merobohkan struktur haram di atas siar kaki di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

