Kekecohan kerja roboh struktur haram, DBKL tangguh operasi

Laporan Sinar Harian mengenai lelaki berparang maki penguatkuasa DBKL.
Laporan Sinar Harian mengenai lelaki berparang maki penguatkuasa DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa kerja-kerja perobohan struktur di Jalan 2/76, Desa Pandan yang dijadualkan pada 15 Julai 2025 ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku di tapak operasi.

Dalam satu kenyataan, DBKL menjelaskan bahawa projek menaik taraf jalan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan memastikan kelancaran aliran trafik demi keselesaan serta keselamatan warga kota.

“Bagi membolehkan pelaksanaan projek ini, DBKL telah menyemak proses pengosongan peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan yang terlibat.

"Proses ini dimulakan dengan memberi notis dan surat tawaran penempatan rumah niaga kepada semua peniaga yang terlibat untuk dipindahkan ke lokasi penempatan semula,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Sehubungan itu, lesen perniagaan sementara yang telah dikeluarkan kepada peniaga terlibat dibatalkan berkuat kuasa mulai 10 Januari 2025, dan semua peniaga dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari 2025 agar mengosongkan tapak dalam tempoh ditetapkan.

“Pada 4 Julai 2025, DBKL telah mengeluarkan notis pengosongan tapak sebagai langkah akhir sebelum tindakan perobohan dijalankan,” menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, kerja-kerja perobohan yang dirancang pada 15 Julai terpaksa ditangguhkan susulan insiden kekecohan yang berlaku di lokasi operasi.

DBKL dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa semua proses pengosongan telah dilaksanakan secara profesional dan mengikut prosedur yang dipersetujui semua pihak.

“DBKL sekali lagi mengulangi bahawa projek ini bertujuan untuk kepentingan awam dan pelaksanaannya penting bagi peningkatan infrastruktur, keselamatan dan kelancaran arus.

Artikel Berkaitan:

"DBKL juga amat menghargai kerjasama semua pihak demi memastikan projek ini berjalan lancar demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur," tambah DBKL dalam kenyataan.

Dalam insiden berlaku kira-kira jam 11.17 pagi pada 15 Julai, seorang lelaki berusia 43 tahun dilaporkan bertindak agresif dengan melibas parang ke arah petugas DBKL serta mencerca mereka secara lisan.

Kekecohan itu berjaya dileraikan dengan bantuan orang awam yang menenangkan suspek sebelum polis bertindak merampas senjata tersebut.

Lelaki itu kemudian ditahan dan kini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman atau membuat spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!