Tiga Ketua Polis Negeri isi jawatan pengarah Bukit Aman

Hussein, Rusdi dan Hamzah
Hussein, Rusdi dan Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendahului senarai lapan pegawai kanan yang dinaikkan pangkat dan pertukaran jawatan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, Hussein dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad pula dilantik menjadi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh bertukar ke jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman.

"Selain itu, Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP) Gilberd Philip Layang dinaikkan pangkat sebagai pengarah jabatan itu dengan memangku pangkat Komisioner (CP)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dua pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) iaitu SAC Redzuan Abd Hamid serta SAC Mohd Rozi Jidin masing-masing dinaikkan pangkat DCP sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman serta Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Tambahnya, Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat) Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Bahagian Teknikal/Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Asisten Komisioner Nordin Md Nor akan memangku pangkat SAC bagi menggantikan Redzuan yang dinaikkan pangkat.

Jelasnya, pertukaran pegawai ini berkuat kuasa pada 21 Julai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!