[VIDEO] Audio tular: Mohamad Ali mahu saman Ketua Menteri Melaka RM100 juta

A
A
A

MELAKA - Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad akan memfailkan saman sivil berjumlah RM100 juta terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, tindakan itu diambil selepas mendakwa dirinya serta keluarga teraniaya, khususnya susulan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan dirinya.

Mohamad Ali
Mohamad Ali

Menurutnya, beliau juga akan membuat aduan bertulis kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memaklumkan masalah yang dihadapinya dan memohon perhatian pihak berkenaan demi menegakkan haknya sebagai warganegara Malaysia untuk mendapatkan keadilan serta perlindungan sewajarnya.

"Dia mungkin sekarang ini cuba nak mengelak, tetapi saman sivil saya terhadap beliau di mahkamah nanti akan mendedahkan segalanya dan beliau tidak boleh berbohong.

"Saya sudah menyiapkan laporan forensik yang mengesahkan bahawa suara itu adalah suara pakatan jahat yang telah dibuat oleh Ab Rauf," katanya dalam sidang akhbar di Klebang, malam Ahad.

Jelas beliau, pihaknya turut meletakkan kepercayaan penuh terhadap keprofesionalan Polis Melaka yang diyakini akan menjalankan siasatan secara telus dan adil tanpa memihak termasuk terhadap individu berprofil tinggi dalam isu berkenaan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial yang mengandungi kenyataan media seorang individu berlatar belakangkan tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu, salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf.

Artikel Berkaitan:

Susulan penularan itu, Mohamad Ali mencabar individu yang terbabit tampil membuat laporan polis untuk menafikan penglibatannya dalam rakaman audio tular yang didakwa berkaitan kes rasuah.

Beliau yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 turut ditahan polis dan direman oleh SPRM pada 15 April lalu mengikut Seksyen 16 Akta SPRM berkaitan dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam perbuatan yang didakwa serta menolak sebarang spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan usaha menjatuhkan Mohamad Ali, bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!