Pelantikan TYT Pulau Pinang boleh berasal dari negeri lain - Kon Yeow

GEORGE TOWN - Tiada prasyarat dalam Perlembagaan Negeri yang mewajibkan pelantikan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang terdiri daripada individu yang pernah berkhidmat atau berasal dari negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini, beberapa TYT Pulau Pinang pernah dilantik dalam kalangan individu yang bukan anak jati negeri ini.
"Perlembagaan Negeri tidak menyatakan bahawa calon TYT mesti berasal dari Pulau Pinang.
"Malah, dalam sejarah pelantikan TYT, terdapat individu yang bukan kelahiran Pulau Pinang tetapi dipilih berdasarkan status, pengalaman, kelayakan dan faktor lain yang bersesuaian.
"Oleh itu, tiada keperluan untuk meletakkan syarat bahawa hanya individu kelahiran Pulau Pinang boleh dilantik sebagai TYT," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Kon Yeow enggan mengulas lanjut mengenai senarai nama calon yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Pulau Pinang kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Saya tetap dengan pendirian saya semalam (Rabu) untuk tidak mengulas mengenai perkara yang berada di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai calon yang bakal dilantik sebagai TYT Pulau Pinang baharu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Antara nama yang disebut bakal menggantikan Ahmad Fuzi ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang telah menyerahkan senarai nama calon TYT kepada PMO untuk dipertimbangkan sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Kon Yeow, senarai beberapa calon telah diserahkan kepada PMO baru-baru ini berikutan tempoh perkhidmatan Ahmad Fuzi yang akan tamat pada 30 April ini.
Untuk rekod, tiga TYT Pulau Pinang sebelum ini bukan berasal dari negeri ini iaitu Tun Sardon Jubir dari Rengit, Batu Pahat, Johor dan berkhidmat dari 1975 hingga 1981.
Tun Dr Awang Hassan pula berasal dari Muar, Johor Bahru dan berkhidmat dari 1973 hingga 1980.
Selain itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir, berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan berkhidmat dari 1989 hingga 2001.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!