Pameran di Jeddah bongkar wajah bumi Haramain 500 tahun lalu

MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya tentang rupa bumi Haramain, Makkah dan Madinah pada zaman dahulu sebelum teknologi moden mengambil alih.
Semuanya terjawab menerusi sebuah pameran khas yang sedang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi.
Memetik laporan portal berita Saudi Gazette, pameran yang baru dibuka di Jeddah Park itu memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan evolusi dua kota suci Islam tersebut sepanjang lima abad.
Menariknya, gambaran sejarah itu dipersembahkan menerusi koleksi karya seni dan fotografi yang unik.
“Pameran ini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk membina satu ingatan visual yang kuat tentang identiti yang berkembang bagi dua kota suci dalam Islam,” lapor portal berita berpengaruh Arab Saudi itu baru-baru ini.
Pameran istimewa tersebut dibahagikan kepada tiga galeri utama iaitu sebelum penciptaan kamera (tahun 1550–1880), gambar awal Makkah dan Madinah (1880–1920) dan zaman keemasan fotografi (1920–kini).
Galeri pertama mengetengahkan ilustrasi awal yang dihasilkan oleh seniman Muslim dan bukan Muslim jauh sebelum terciptanya kamera pada tahun 1837.
Karya-karya seni itu diukir pada tembaga dan logam lain, sebelum dicetak dan diedarkan di seluruh Eropah selepas diolah dan diperindah oleh ilustrator profesional.
Saudi Gazette melaporkan, pameran itu turut memaparkan peralihan seni interpretasi kepada realisme fotografi dengan gambar terawal Makkah direkodkan sejak tahun 1297 Hijrah (1880 Masihi).
"Tidak seperti karya-karya lukisan tangan lain, foto-foto lama itu menjadi rekod visual berharga dalam memelihara adat, seni bina dan kehidupan kota suci pada waktu tertentu," lapor portal itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
