Lelaki berkelakuan tidak sopan depan pasar raya diberkas

KLUANG – Tindakan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Batu 4, di sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 petang yang turut tular di laman Facebook.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 16 Julai 2025, kira-kira jam 4.16 petang, membabitkan seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak sopan di lokasi awam berkenaan dan turut tular di media sosial.
“Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah berjaya membuat tangkapan terhadap suspek, seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun, di tepi Jalan Besar Mersing kira-kira jam 5 petang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah, namun saringan ujian air kencing menunjukkan keputusan negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kesalahan lain diminta tampil menyalurkan maklumat menerusi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222 / 07-7784256 (talian terus), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (tablet DCC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
