Remaja tular curi di pasar raya tampil serah diri

JEMPOL - Seorang remaja lelaki yang tular ekoran melarikan diri selepas mencuri beberapa barangan di sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Bandar Seri Jempol telah diberkas polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, suspek berusia 15 tahun itu ditahan selepas hadir ke balai polis sekitar jam 1 petang dengan ditemani ahli keluarganya.
“Remaja berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakaman percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya pada Ahad.
Insiden itu tular selepas satu video berdurasi tiga minit 44 saat dimuat naik ke media sosial pada Sabtu, memaparkan suspek ditahan oleh pekerja pasar raya kerana disyaki mencuri.
Norhisham berkata, pemeriksaan oleh pekerja pasar raya terhadap beg yang dibawa suspek menemui dua peket sos lada hitam dan dua peket mayonis yang tidak disertakan dengan resit pembayaran, dengan anggaran nilai RM41.
“Sepasang suami isteri yang mengaku sebagai ibu bapa suspek kemudian meminta agar remaja itu dilepaskan.
"Namun berlaku sedikit pergelutan dengan pengawal keselamatan sebelum mereka bertiga melarikan diri menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza,” kata Norhisham.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mencetuskan keadaan tidak aman, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

